Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penghasil minyak zaitun beradaptasi dengan perubahan iklim

    MADRID – Penghasil minyak zaitun menaiktaraf sistem irigasi mereka dan mencari varieti-varieti baharu buah zaitun untuk melindungi penghasilan sementara perubahan iklim menjejaskan hasil tuaian, menyebabkan harga barangan asasi dalam diet Mediterranean itu melambung tinggi.

    “Perubahan ikim sudah menjadi realiti dan kita harus beradaptasi padanya,” menurut pengarah eksekutif di Majlis Zaitun Antarabangsa (IOC), Jaime Lillo.

    Dia bercakap pada pembukaan kongres minyak zaitun selama tiga hari, di Madrid yang menarik seramai 300 peserta dari seluruh dunia.

    Perhimpunan tersebut diadakan ketika penghasil-penghasil minyak zaitun dunia, termasuk Sepanyol, Itali dan Greece, mencatatkan penurunan penghasilan terbesar dalam masa dua tahun kebelakangan disebabkan kemarau dan gelombang haba yang ekstrem.

    Penghasilan minyak zaitun global jatuh daripada 3.42 juta tan pada musim 2021-2022 kepada 2.57 juta tan pada 2022-2023, menurut angka statistik IOC. Menurut data daripada 37 ahli organisasi tersebut, ia dijangka akan jatuh lagi pada 2023-2024 kepada 2.41 juta tan.

    Juan Manuel Martin menunjukkan perbezaan antara buah zaitun yang ditanam dengan sistem pengairan berpaten penyusup (kanan) dan tanpa penyusup (Kiri). – AFP
    Gambar AFP
    Gambar botol minyak zaitun pelbagai jenama dan harga dipamerkan di sebuah pasar raya di Madrid pada 27 Jun lalu. – AFP
    Gambar pokok zaitun di Albanchez de Magina yang dilanda kemarau berhampiran Jaen pada 20 November 2017. – AFP
    Gambar pokok zaitun berhampiran Jaen, tenggara Sepanyol. – AFP

    Itu telah menyebabkan harga melonjak naik di antara 50 peratus dan 70 peratus setahun kebelakangan, mengikut varieti. Harga di Sepanyol, yang membekalkan separuh daripada minyak zaitun dunia, telah meningkat tiga kali ganda sejak 2021, meresahkan para pengguna.

    Minyak zaitun sentiasa menjadi sebahagian penting daripada diet Mediterranean sejak ribuan tahun lagi. Orang-orang Sepanyol contohnya menggunakannya dalam masakan dan membumbui ikan, salad, sayur dan hidangan lain.

    “Kenaikan harga ini menjadi ujian berat pada sektor kita. Kita tidak pernah mengalami sesuatu seperti ini sebelumnya,” ujar Pedro Barato, ketua Persatuan Antaraprofesional Minyak Ziatun Sepanyol.

    “Kita harus bersedia untuk menghadapi senario yang semakin kompleks yang akan membolehkan kami menghadapi krisis iklim,” tambahnya, menyamakan ‘pergeloraan’ yang dihadapi penghasil zaitun dengan apa yang dialami sektor perbankan ketika krisis kewangan 2008.

    Prospeknya tidak menggalakkan. Lebih daripada 90 peratus penghasilan minyak zaitun dunia datang dari lembangan Mediterranean. Panel Antarakerajaan bagi Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (IPCC) berkata rantau tersebut mengalami pemanasan 20 peratus lebih cepat daripada purata global. Situasi itu boleh menjejaskan penghasilan dunia dalam jangka panjang.

    “Kita berhadapan dengan situasi rumit” yang bermaksud “menukar cara kita menjaga pohon dan tanah,” kata Georgios Koubouris, pengkaji di Greek Olive Institute.

    “Pokok zaitun merupakan salah satu daripada pokok terbaik yang diadaptasi ke cuaca kering. Tetapi dalam kemarau ekstrem, ia mengaktifkan mekanisme untuk mempertahankan dirinya dan tidak akan menghasilkan apa-apa. Untuk menanam zaitun, awda memerlukan jumlah air yang minimum,” kata Lillo.

    Antara penyelesaian yang telah dibangkitkan di kongress Madrid adalah kajian genetik.

    Dalam tahun-tahun kebelakangan ratusan daripada varieti pokok zaitun telah diuji untuk mencari spesies terbaik yang dapat beradaptasi dengan suhu tinggi.

    Matlamatnya adalah untuk “mencari varieti yang hanya memerlukan beberapa jam suhu sejuk ketika musim sejuk dan yang lebih tahan terhadap tekanan disebabkan kekurangan air semasa waktu-waktu penting dalam setahun, seperti musim bunga,” kata Juan Antonio Polo, ketua teknologi di IOC.

    Sektor tersebut juga cuba untuk menambah baik penggunaan air seperti menyimpan air hujan, mengitar semula air kumbahan dan menggunakan teknologi yang menggunakan kurang air untuk menyiram pokok.

    Itu bermaksud tidak lagi menggunakan ‘irigasi permukaan’ dan sebaliknya menggunakan ‘sistem titisan’ yang membawa air ‘terus ke bahagian akar pokok’ bagi mengelakkan kehabisan air, kata Kostas Charzoulakis dari Greek Olive Institute.

    Para petani telah meninggalkan penghasilan di beberapa kawasan tertentu yang berkemungkinan boleh menjadi tidak sesuai untuk pokok zaitun kerana terlalu kering dan berpindah ke rantau lain.

    Terdapat pembangunan ladang-ladang zaitun baharu, meskipun skalanya kecil, di rantau-rantau yang dahulunya tidak digunakan untuk menanam tumbuhan itu, kata Lillo, sambil menambah bahawa dia adalah optimistik terhadap masa depan. “Dengan kerjasama antarabangsa, kita akan perlahan-lahan mendapat penyelesaian,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda