GENEVA, 8 JAN – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin menjelaskan bahawa peningkatan penularan virus pernafasan, khususnya ‘human metapneumovirus’ (hMPV) di China, adalah sejajar dengan corak biasa musim sejuk, tanpa sebarang pengisytiharan kecemasan meskipun perkara itu mendapat perhatian ramai, lapor agensi Anadolu (AA).
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China (China CDC) melaporkan peningkatan jangkitan pernafasan biasa, termasuk influenza bermusim, virus pernafasan sinsitium (RSV), hMPV dan SARS-CoV-2, berdasarkan data terkini sehingga 29 Disember.
“Antara patogen yang dilaporkan oleh China CDC, influenza bermusim adalah paling kerap berlaku dan sedang meningkat,” kata jurucakap WHO, Margaret Harris, semasa taklimat media di Geneva.
Harris berkata kadar ujian positif untuk influenza melebihi 30 peratus dalam kalangan individu yang mengalami gejala seperti selesema di lokasi pemantauan pada akhir Disember.
Bagaimanapun, beliau berkata, “Tahap jangkitan pernafasan yang dilaporkan di China adalah dalam julat biasa untuk musim sejuk.
“Pihak berkuasa melaporkan penggunaan hospital kini lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lepas dan tiada pengisytiharan atau respons kecemasan dicetuskan.” – Bernama