Tuesday, September 17, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pochettino pengendali baharu skuad bola sepak AS

    MIAMI, 11 SEPT – Mauricio Pochettino dilantik sebagai pengendali baharu skuad kebangsaan Amerika Syarikat (AS), umum badan induk bola sepak AS, kelmarin.

    Bekas pengendali Tottenham Hotspur, Chelsea, Paris Saint-Germain dan Espanyol itu menggantikan Gregg Berhalter yang dipecat pada Julai selepas kempen mengecewakan di Copa America.

    Pochettino adalah nama terbesar membimbing skuad itu dan jurulatih asing pertama sejak legenda bola sepak Jerman, Jurgen Klinsmann, yang dipecat pada tahun 2016.

    Pochettino, 52, menganggur sejak meninggalkan Chelsea pada Mei selepas hanya semusim membimbing kelab Liga Perdana Inggeris itu.

    Butiran kontraknya tidak didedahkan, tetapi Pochettino akan membawa AS di Piala Dunia 2026 yang dianjurkan bersama negara itu dengan Mexico dan Kanada.

    Pochettino mempunyai rekod prestasi mempromosikan bakat muda di Southampton, Tottenham dan pasukan Sepanyol Espanyol pada awal karier pengurusannya.

    Di Tottenham, Pochettino memainkan peranan penting dalam membentuk karier kapten England, Harry Kane dan dia menjadikan Spurs sebagai penamat empat teratas biasa sambil turut membimbing mereka ke final Liga Juara-Juara pada 2019.

    Pengendali dari Argentina itu, yang pernah mengendali nama-nama besar seperti Lionel Messi, Neymar dan Kylian Mbappe ketika bersama Paris Saint-Germain, tidak sabar untuk memulakan cabaran dengan pasukan baharunya.

    Reaksi Mauricio Pochettino semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Nottingham Forest dan Chelsea di The City Ground di Nottingham pada 11 Mei lalu. – AFP

    “Keputusan menyertai AS bukan semata-mata tentang bola sepak untuk saya; ia berkenaan perjalanan yang bakal diharungi pasukan dan negara ini.

    “Tenaga, semangat dan kesungguhan untuk mencapai sesuatu yang bersejarah di sini – mencetus inspirasi buat saya. Peluang sebegini sukar untuk ditolak.

     “Saya melihat kumpulan pemain yang berbakat dan berpotensi, bersama-sama kami akan membina sesuatu yang istimewa serta boleh dibanggakan,” kata Pochettino.

    Pochettino mewarisi barisan pemain muda yang mara ke kelompok 16 terakhir di Piala Dunia Qatar pada tahun 2022, tewas di tangan Belanda di peringkat itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda