Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis Thailand rampas lebih 1 tan dadah

    BANGKOK, 24 JAN – Polis Thailand berjaya merampas 1.1 tan methamphetamine dalam tempoh kurang seminggu, menurut kenyataan pegawai hari ini, ketika negara itu mengenakan tindakan keras ke atas aktiviti penyeludupan yang semakin meningkat sejak sempadan negara dibuka semula.

    Rampasan itu dibuat selepas pertempuran antara polis dan penyeludup meningkat di kawasan pedalaman negara itu di bahagian utara, kawasan yang sudah lama menjadi hab perdagangan dadah haram.

    Berikutan dengan maklumat risikan, polis berjaya menahan 10 orang warga Thailand dalam beberapa serbuan di bahagian utara dan selatan negara itu.

    “Sebahagian dadah tersebut telah disimpan sejak sekian lama sebelum dipindahkan ke wilayah paling selatan, dan kemudian penyeludup sepatutnya menghantarnya ke negara-negara lain,” kata Jeneral Chinnapat Sarasin, Timbalan Ketua Polis Kebangsaan.

    Dia berkata Thailand ‘dikelilingi oleh titik panas penghasilan dadah’, namun pandemik COVID telah menghalang penyeludup daripada memindahkan barang dagangan mereka.

    Polis Thailand berjaya merampas lebih satu tan dadah dalam tempoh kurang seminggu. – AFP

    “Kini negara sudah membuka semula sempadannya, bahan-bahan dilarang juga dihantar tanpa henti,” katanya.

    Polis dalam kenyataannya berkata bahawa kumpulan pengedar dadah rentas sempadan merupakan dalang pemerdagangan haram tersebut.

    Dalam operasi pertama, pegawai polis menemui 731 kilogram (kg) methamphetamine, dalam dua serbuan di wilayah selatan Thailand, Phatthalung dan Surat Thani.

    Susulan risikan yang dilakukan, pegawai polis menahan tiga orang lelaki pada Khamis selepas mereka menemui 688kg methamphetamine dalam tiga buah trak, yang dipercayai diseludup ke timur laut Thailand sebelum dihantar ke selatan.

    Polis kemudian menahan empat lagi susulan penemuan 43kg dadah, yang dijual melalui aplikasi pesanan ringkas popular Thailand, LINE.

    Ahad lalu, seorang lagi lelaki ditahan di wilayah utara Chiang Rai ketika dia bersiap untuk menghantar kira-kira 300kg dadah – yang disembunyikan dalam beg teh – selatan ke Satun. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda