Thursday, January 9, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Popov mulakan musim 2025 dengan kemenangan

    KUALA LUMPUR, 8 JAN – Pemain perseorangan lelaki Perancis, Toma Junior Popov, memulakan lembaran 2025 dengan kemenangan menakjubkan pada Terbuka Malaysia yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.

    Diletakkan sebagai bukan pilihan, pemain berusia 26 tahun itu memulakan saingan tanpa tekanan mengejutkan pilihan ketiga Jonatan Christie dari Indonesia pada set pertama dengan 21-8 sebelum tunduk pada set kedua 14-21.

    Popov bangkit pada set penentuan untuk mengesahkan kemenangan 26-24, menyingkirkan pemain ketiga dunia untuk mara ke pusingan kedua dalam pertarungan berlangsung selama 81 minit.

    Ia merupakan kemenangan pertamanya ke atas pemain Indonesia selepas lima pertemuan.

    Menurut Popov, yakin menjadi kunci kejayaannya menyingkirkan wakil Indonesia pada saingan kali ini, selain pernah melakukannya tahun lepas ketika berdepan pemain berprofil tinggi seperti Viktor Axelsen dari Denmark pada Kejohanan Eropah dan Anthony Sinisuka Ginting di Sukan Olimpik Paris 2024. 

    “Selalunya apabila berdepan pemain handalan, saya rasa satu ketika kita akan terbiasa dan lama-kelamaan akan menjadi selesa.

    “Saya tidak fikir boleh mengalahkan semua pemain setiap hari. Saya tidak berada pada tahap seperti itu tetapi saya boleh lakukan kejutan dan saya yakin,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan, hari ini.

    Popov akan berdepan wakil Hong Kong, Angus Ng Ka Long, yang menewaskan pemain China, Weng Hong yang 16-21, 21-19, 21-11. – Bernama

    Popov membuat kejutan selepas berjaya menewaskan Christie pada Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil pada 8 Januari. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda