TOKYO, 16 SEPT – Bilangan penduduk Jepun berumur 65 tahun ke atas mencecah rekod tertinggi 36.25 juta tahun ini, data kerajaan menunjukkan, ketika negara itu bersaing dengan salah satu masyarakat paling cepat menua di dunia.
Warga emas kini menyumbang 29.3 peratus daripada jumlah penduduk Jepun, juga merupakan tahap tertinggi baharu, menurut data yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi kelmarin.
Kementerian itu berkata perkadaran penduduk warga emas meletakkan Jepun di bahagian atas senarai 200 negara dan wilayah dengan populasi lebih 100,000.
Itali, Portugal, Greece, Finland, Jerman dan Croatia mewakili Eropah dalam 10 teratas, dengan kadar lebih 20 peratus. Korea Selatan berada pada 19.3 peratus dan China 14.7 peratus.
Jepun sedang menghadapi krisis penduduk yang semakin memburuk, kerana populasi warga emasnya yang semakin meningkat membawa kepada kos perubatan dan kebajikan yang melambung tinggi, dengan tenaga buruh yang semakin berkurangan untuk membayarnya.
Penduduk keseluruhan negara itu juga menyusut sebanyak 595,000 menjadi 124 juta, menurut data kerajaan baharu.
Data itu juga turut menunjukkan bahawa 9.14 juta warga emas telah bekerja pada 2023, juga adalah satu rekod. Mereka mewakili 13.5 peratus daripada jumlah tenaga kerja, atau seorang pekerja warga emas dalam setiap tujuh pekerja.
Kerajaan Jepun telah sentiasa cuba memperlahankan penurunan dan penuaan penduduknya tanpa apa-apa kejayaan yang bermakna. – AFP