Tuesday, January 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Presiden Abbas adakan perbincangan dengan pelbagai pihak, segerakan gencatan senjata

    RAMALLAH, 13 JAN – Jurucakap Presiden Palestin, Mahmoud Abbas kelmarin menyatakan bahawa kepimpinan Palestin telah bekerja tanpa mengenal penat untuk menghentikan pertumpahan darah dan melindungi rakyat Palestin daripada kengerian perang, termasuk kematian, kemusnahan dan pemindahan secara paksa, lapor agensi Berita Palestin (WAFA).

    Nabil Abu Rudeineh menegaskan bahawa Presiden Mahmoud Abbas sedang mengadakan perbincangan dan pertemuan yang meluas dengan pelbagai pihak Arab dan antarabangsa untuk mempercepat perjanjian gencatan senjata yang mampu menamatkan serangan Israel.

    Usaha ini bertujuan untuk melaksanakan resolusi antarabangsa, termasuk Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2735, yang menyeru gencatan senjata segera, penghantaran bantuan kemanusiaan mendesak ke Gaza, pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari kawasan itu, serta membolehkan Negara Palestin memikul tanggungjawab sepenuhnya di Gaza.

    “Masanya telah tiba untuk memaksa Israel menghentikan perang terhadap rakyat kami di Gaza, menghentikan pencerobohan dan pelanggarannya di Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur, serta menghentikan keganasan peneroka haram yang berterusan terhadap tanah Palestin, rakyat dan tempat suci,” kata Abu Rudeineh.

    Beliau turut mengecam tindakan berterusan Israel merampas tanah dan dana cukai Palestin, yang disifatkannya sebagai bentuk rampasan.

    Jurucakap itu menegaskan bahawa pematuhan kepada legitimasi Arab dan antarabangsa adalah penting untuk mencapai keselamatan dan kestabilan di rantau ini. – Bernama

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda