Wednesday, September 18, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rahm hasrat sertai kejohanan golf Eropah

    LOS ANGELES, 12 SEPT – Pemain golf Sepanyol, Jon Rahm berhasrat menyertai tiga kejohanan golf Eropah sebelum akhir tahun ini untuk mengekalkan kelayakannya dalam acara Ryder Cup, namun dia menegaskan tidak akan membayar denda yang dikenakan oleh DP World Tour berhubung penyertaannya dalam liga golf LIV.

    Juara dua kali kejohanan utama itu menyertai LIV Golf pada Disember lalu dan kini berdepan tarikh akhir untuk membayar denda yang dikenakan oleh DP World Tour kepada para pemain yang gagal mendapatkan kebenaran untuk bertanding dalam kejohanan liga yang dibiayai Saudi, yang bertembung dengan acara-acara jelajah rasmi.

    Ketika Rahm sedang bersiap untuk kejohanan LIV Golf di Chicago minggu ini, dia berharap dapat menyertai dua acara di negaranya – Terbuka Sepanyol dan Andalucia Masters serta Kejohanan Dunhill Links. Namun, dia mengakui masih belum pasti sama ada dibenarkan untuk beraksi.

    “Kami sudah mendaftar lama dahulu,” kata Rahm.

    “Sama ada mereka benarkan saya bermain atau tidak, itu soal lain. Saya tidak bersetuju dengan denda itu dan saya rasa sudah cukup lantang bersuara membantahnya.

    Jon Rahm bersaing dalam Sukan Olimpik Paris 2024 di Le Golf National di Guyancourt, pada 4 Ogos lalu. – AFP

    “Saya tidak berniat untuk membayar denda itu dan kami terus berusaha berbincang dengan mereka tentang bagaimana perkara ini dapat diselesaikan,” tambahnya.

    “Saya sudah banyak kali katakan, saya bukan beraksi di Terbuka Sepanyol demi mendapatkan kemasyhuran atau apa-apa.

    “Saya rasa itu adalah tanggungjawab saya kepada golf Sepanyol untuk berada di sana dan saya juga ingin bermain di Sotogrande.”

    Terdapat kemungkinan Rahm boleh bermain jika dia membuat rayuan terhadap larangan tersebut.

    Tyrrell Hatton dari LIV Golf sebelum ini menyertai British Masters setelah membuat rayuan, dengan hukuman penalti diselesaikan kemudian.

    Situasi itu turut diperhatikan oleh Luke Donald, kapten pasukan Eropah untuk Ryder Cup tahun depan di Bethpage Black, New York. Rahm adalah antara pemain utama Eropah dalam kemenangan mereka ke atas Amerika Syarikat tahun lalu di Rom dalam edisi terbaharu perlawanan match play dua tahun sekali itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda