Oleh Raz AS –
Selongsong, siakap putih atau lebih dikenali sebagai barramundi, adalah salah satu ikan buruan yang sangat diminati oleh pemancing di Brunei. Dengan sifatnya yang agresif dan daya saingnya yang hebat, menunda (trolling) umpan tiruan atau lure sememangnya menjadi salah satu teknik yang efektif untuk menangkap spesies ini.
Artikel ini akan membincangkan teknik menunda selongsong secara terperinci, termasuk persediaan, peralatan, dan strategi yang perlu awda ketahui.
Sebelum memulakan aktiviti menunda, adalah penting untuk awda memahami habitat selongsong. Selongsong biasanya ditemui di kawasan seperti muara sungai di mana air bahal atau brackish water adalah menjadi lokasi kegemaran selongsong.
Di kawasan yang dasarnya berlumpur selongsong sering ditemukan di tempat-tempat berstruktur di mana ia suka berlindung seperti di kawasan berbatu, kayu hanyut, atau tiang jambatan. Ikan ini lebih aktif pada waktu senja dan subuh, terutama ketika arus bergerak.
Peralatan yang tepat memainkan peranan penting dalam kejayaan menunda. Gunakan joran berkekuatan sederhana (medium power) dengan aksi sederhana hingga cepat (medium-fast to fast action) dengan panjang antara enam hingga tujuh kaki.
Pilih reel sama ada spinning atau baitcasting dengan kapasiti tali yang mencukupi, bagi jenis spinning, reel bersaiz 2500 atau 3000 sudah memadai. Manakala bagi jenis baitcasting pula bersaiz 200.
Isikan reel awda dengan tali sulam (braided line) berkekuatan 20 hingga 30lb sebagai tali utama sementara bagi tali perambut pula tali mono atau fluoro berkekuatan 30 hingga 50lb adalah sesuai untuk tahan geseran dan mengelakkan gigi selongsong yang kesat seakan kertas pasir itu memutuskan tali ketika melawan.
Gunakan lure jenis minnow atau crankbait yang menyerupai ikan kecil. Pilih warna natural seperti perak, putih, atau hijau untuk keadaan air yang jernih, dan warna cerah seperti oren atau merah untuk air keruh.
Kelajuan bot yang ideal adalah antara dua hingga empat knot. Kelajuan ini membolehkan lure bergerak dengan semula jadi, menyerupai ikan yang berenang. Kelajuan terlalu tinggi boleh menyebabkan lure kelihatan tidak realistik.
Gunakan lure yang dapat menyelam pada kedalaman 1.5 hingga 3 meter, bergantung pada lokasi. Jika memancing di kawasan yang lebih dalam, gunakan lure daripada jenis selaman dalam. Yang penting pastikan lure yang ditunda sentiasa berada di kedalaman strike zone di mana ikan berada.
Selongsong biasanya berada berhampiran struktur. Oleh itu, fokuskan aktiviti menunda di lokasi sepert di kawasan tiang jambatan, muara sungai berstruktur lintasi kawasan berkayu atau berbatu dan di pinggir akar bakau yang menjadi habitat semula jadi ikan selongsong.
Waktu terbaik untuk menunda selongsong adalah ketika arus bergerak di mana aktiviti ikan ini meningkat ketika arus pasang atau surut. Waktu subuh, awal pagi atau senja, dan cuaca mendung atau selepas hujan di mana selongsong cenderung lebih aktif ketika cuaca ini.