Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    UK bina tapak ujian ketenteraan tangani gangguan GPS asing

    LONDON, 21 OGOS – United Kingdom (UK) akan membina kemudahan baharu untuk membantu melindungi peralatan ketenteraan daripada gangguan GPS asing, umum Kementerian Pertahanan (MoD) hari ini di tengah-tengah peningkatan ancaman musuh.

    Tapak yang dikenali sebagai hangar senyap ini bertujuan melindungi peralatan daripada ‘percubaan untuk menyekat peranti GPS’ dan membangunkan kit yang boleh ‘berfungsi dalam persekitaran elektromagnet yang paling teruk semasa operasi’, kata MoD.

    Kemudahan ini, yang dijangka dibuka pada tahun 2026 dan akan menjadi salah satu yang terbesar di Eropah, akan digunakan untuk menguji peralatan ketenteraan termasuk dron Protector, helikopter Chinook, kenderaan berperisai dan jet pejuang.

    Ujian akan dijalankan di dalam hangar khas, yang akan ‘mengurangkan pantulan, gema atau kebocoran gelombang frekuensi radio’.

    Ia akan ditempatkan di MoD Boscombe Down, sebuah tapak ujian pesawat tentera di Wiltshire, barat daya England, dengan kontrak bernilai AS$26 juta dianugerahkan kepada firma teknologi pertahanan QinetiQ untuk membina kemudahan tersebut.

    “Ancaman musuh yang mengganggu GPS bagi mengelirukan peralatan ketenteraan semakin meningkat,” kata Menteri Perolehan dan Industri Pertahanan, Maria Eagle.

    “Kemudahan ujian yang canggih ini akan membantu kita menghapuskan kelemahan daripada platform kita, melindungi keselamatan negara kita dan memastikan Angkatan Tentera kita dilindungi dengan lebih baik semasa menjalankan tugas-tugas global,” tambah Eagle. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda