Saturday, December 14, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha bantu guru sampaikan pengajaran berkualiti, berkesan

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Khas (JPK) giat bekerjasama dengan pihak Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bagi mendukung pelaksanaan Sistem Pengintegrasian Mata Pelajaran Ugama ke dalam Sistem Pendidikan Umum.

    Oleh yang demikian, satu Jawatankuasa Pengintegrasian Pendidikan Khas terdiri daripada pegawai-pegawai JPK dan JPI telah ditubuhkan pada Januari 2024 untuk membuat perancangan dalam tiga aspek utama iaitu penyediaan kurikulum khas; keperluan tenaga pengajar pendidik khas; serta penyediaan sumber dan prasarana sesuai dengan keperluan.

    Salah satu inisiatif utama dalam tenaga pendidik ialah memberikan kursus pengenalan dalam pendidikan khas. Ia sememangnya bertujuan untuk meningkatkan kapasiti perkembangan guru pendidikan khas, guru agama mahu pun guru pendidikan khas agama dalam menangani pelajar berkeperluan khas di samping membantu guru-guru agar menyampaikan sesi pengajaran yang berkualiti dan berkesan.

    Perkara berkenaan antara yang ditekankan oleh Pegawai Pelajaran, JPK, Kementerian Pendidikan, Hajah Norazyyati @ Hartini binti Haji Muhammad Taha kepada pihak Media Permata bagi menjelaskan lanjut berhubung Kursus Pengenalan Pendidikan Khas bagi Guru-guru Ugama sebagai salah satu usaha untuk membantu golongan guru agama agar dapat menyampaikan sesi pengajaran yang berkualiti dan berkesan kepada anak-anak didik di negara ini.

    OBJEKTIF KURSUS PENGENALAN PENDIDIKAN KHAS

    Dalam menyentuh objektif Kursus Pengenalan Pendidikan Khas bagi Guru-guru Ugama anjuran kerjasama di antara pihak Kementerian Pendidikan melalui JPK dan KHEU melalui JPI, Hajah Norazyyati antaranya menjelaskan kursus berkenaan bertujuan untuk memenuhi keperluan dan melengkapkan guru-guru agama dengan pengetahuan dan kemahiran mengenai pendidikan khas khususnya untuk mengajar pelajar-pelajar berkeperluan khas bagi mengajarkan mata pelajaran Pendidikan Islam Khas yang mengikuti sesi pengintegrasian mata pelajaran agama ke sistem pendidikan umum di sekolah-sekolah rendah kerajaan dan swasta.

    Hajah Norazyyati sedikit sebanyak menyentuh tentang tujuan dan objektif kursus itu. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Haji Saleh juga menyentuh tentang buku kurikulum pada kursus berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Awang Mohd Firdaus turut berkongsi pendapat dan pengalaman pada kursus tersebut. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Antara kegiatan yang dilaksanakan semasa kursus berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    Kursus berkenaan juga dilaksanakan sebagai usaha untuk meningkatkan profesionalisme serta melengkapkan para guru agama dengan perkembangan dan amalan terbaik yang terkini dalam meningkatkan konsep pendidikan inklusif di Negara Brunei Darussalam.

    “Jumlah keperluan minima guru pendidikan khas agama pada masa ini adalah seramai 150 guru iaitu 137 orang dari sekolah kerajaan dan 13 orang dari sekolah swasta. Kursus Singkat Pengenalan Pendidikan Khas telah diadakan tiga fasa iaitu pada Februari hingga September 2024. Alhamdulillah 100 peratus guru-guru agama ini telah menghadiri kursus bagi memenuhi keperluan tersebut,” ujar beliau.

    KERELEVANAN KANDUNGAN KURSUS

    Dalam melaksanakan kursus berkenaan, Hajah Norazyyati turut menambah pihak JPK dan JPI telah membuat penelitian dan perbincangan bersama mengenai maklum balas borang penilaian yang telah diisikan oleh guru-guru selepas mengikuti kursus. Tujuannya adalah untuk memastikan kandungan kursus yang diberikan adalah relevan dengan keperluan pengajaran dan cabaran yang dihadapi oleh guru-guru agama dalam menangani pelajar berkeperluan khas menambahbaik perancangan sesi kursus fasa seterusnya.

    Para penyampai kursus juga terdiri daripada pegawai-pegawai JPK yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang pengkhususan pendidikan khas serta memastikan amalan-amalan terbaik yang terkini telah dikongsikan semasa kursus.

    SOKONGAN SUSULAN SELEPAS KURSUS

    Apabila diajukan persoalan mengenai bentuk sokongan susulan atau latihan tambahan yang disediakan bagi guru-guru agama selepas menghadiri kursus berkenaan untuk memastikan impak berterusan dalam pengajaran mereka, Pegawai Pelajaran, Ketua Unit Sekolah Rendah, Bahagian IRK, JPI, KHEU, Haji Saleh bin Haji Nasir, antaranya menjelaskan selain memberikan Kursus Singkat Pengenalan Pendidikan Khas, inisiatif jawatankuasa kerja melalui sub-komiti kurikulum dan penjadualan bersama kerjasama pakar daripada Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) juga telah menyediakan Buku Kurikulum Pendidikan Khas Ugama.

    “Salah satu matlamat buku ini adalah untuk memastikan potensi pelajar dapat dikembangkan secara holistik, seimbang dan bersepadu sesuai dengan tahap kefungsian mereka. Buku ini mengandungi komponen kemahiran asas yang perlu diajarkan iaitu Kemahiran Asas Al-Quran, Kemahiran Asas Amali, Kemahiran Asas Ibadat dan Kemahiran Asas Jawi dan Pentaksiran dalam bilik darjah.”

    “Buku kurikulum ini dijadikan sebagai panduan untuk guru-guru pendidikan khas agama yang berada di sekolah-sekolah rendah kerajaan dan swasta dan telah digunakan secara sementara bermula pada penggal persekolahan kedua bulan Ogos lalu,” kongsinya.

    Haji Saleh turut menambah jalinan kolaborasi dan kolaboratif yang efektif di antara guru pendidikan khas bersama guru-guru pendidikan khas agama juga merupakan pemacu utama dalam membimbing pelajar seperti bertukar pendapat tentang strategi pengajaran dan pembelajaran, teknik dan cara menangani pelajar dalam bilik darjah dan sebagainya.

    Selain itu, lawatan pemantauan dan bimbingan dari unit atau bahagian berkenaan juga terus diadakan dari semasa ke semasa terutama bagi guru-guru yang memerlukan bimbingan dan sokongan tambahan selepas kursus dijalankan.

    BEKALAN PERKASA PENDIDIKAN KHAS

    Berkongsi pandangan dan pengalaman selepas menyertai kursus singkat berkenaan, Ketua Guru Ugama, Sekolah Pengiran Setia Jaya Pengiran Abdul Momin, Awang Mohd Firdaus bin Mohd Qarar antaranya menyatakan kursus yang disertainya itu dapat membantu meningkatkan kemahiran dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian bagi pelajar-pelajar berke-perluan khas.

    “Sepertimana yang diketahui, pengajaran dan pembelajaran murid pendidikan khas ini amatlah berbeza dari segi keupayaan berbanding murid yang mengikuti aliran perdana dalam kelas biasa. Perbezaan ini perlu diambil perhatian dan dikenalpasti oleh seseorang guru dari segi maklumat yang relevan dengan kategori keperluan murid yang telah didiagnosis mengikut tahap keutamaan bagi membantu menentukan kesesuaian program pendidikan berkualiti yang inklusif dan saksama akan dapat dicapai oleh murid-murid berkeperluan khas,” ujarnya.

    Awang Mohd Firdaus seterusnya menambah kursus berkenaan banyak memberikan impak besar bagi diri beliau dan rakan-rakan seperjuangan dengan pendedahan maklumat yang komprehensif mengenai apa yang harus dilaksanakan sekiranya berdepan dengan murid berkeperluan khas.

    “Tanggapan dan sokongan positif terhadap keperluan murid berkeperluan khas adalah penting bagi memastikan mereka dapat mengambil bahagian sepenuhnya dan mencapai potensi optimum dalam pembelajaran di sekolah. Sejajar dengan perkembangan pendidikan negara dengan menyahut kepelbagaian keperluan semua pelajar,” tekan beliau di akhir pertemuan bersama Media Permata.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda