Sejak kebelakangan ini drama berkisarkan kecurangan dan penyondol dijadikan resipi dalam memancing penonton.
Sehinggakan ada beberapa pelakon wanita yang memegang peranan sebagai penyondol menjadi mangsa kebencian penonton di media sosial.
Bagi pelakon Che Puan Juliana Evans, dia tidak akan sesekali menerima watak seperti itu yang dianggap sebagai tipikal dan tidak mencabar.
Kata pemilik nama sebenar Juliana Sophie Johari Evans, 36, watak itu bukan sahaja klise tetapi menjatuhkan martabat seorang wanita.
“Saya memang tak akan ambil malah tidak mahu watak penyondol.
“Rasanya hampir semua drama mesti ada karakter penyondol dan bagi saya ia terlalu mudah, tidak mencabar dan sangat tipikal.
“Sebagai pelakon saya tak mahu dikenali dengan watak merendahkan wanita,” katanya kepada mStar.
Juliana berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Bisikan Dosa yang diadakan di GSC Tropicana Mall pada malam Isnin.
Kongsi Juliana dia sebolehnya mahu menzahirkan peranan yang dapat memberi manfaat kepada penonton.
“Saya mahu watak menonjolkan wanita kuat, melindungi dan mempertahankan haknya. Itu lebih bermanfaat berbanding menjadi perampas suami orang.
“Saya suka cabaran dan itu membuatkan saya lebih menghargai seni lakonan,” jelasnya. – Agensi