Monday, January 20, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Whoosh tambah 62 jadual perjalanan mulai Februari

    JAKARTA, 19 JAN – Perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Jakarta-Bandung, yang dikenali sebagai Whoosh, akan menambah jadual perjalanan harian kepada 62 bermula 1 Februari nanti, menurut kenyataan rasmi syarikat kelmarin.

    “Jadual perjalanan yang dipertingkatkan ini bertujuan memudahkan penumpang menggunakan perkhidmatan Whoosh dengan menawarkan lebih banyak pilihan, meningkatkan fleksibiliti dan memastikan keselesaan perjalanan seiring dengan peningkatan jumlah penumpang,” kata Pengurus Besar Setiausaha Korporat PT Kereta Cepat Indonesia China (KCIC), Eva Chairunisa.

    Chairunisa memaklumkan jumlah penumpang Whoosh terus meningkat, dengan lebih 7.5 juta pengguna sejak HSR itu memulakan operasi komersial pada Oktober 2023. Sejak Mei 2024, Whoosh telah beroperasi dengan 48 perjalanan sehari, meningkat daripada 14 perjalanan sewaktu pelancaran.

    “Penambahan jadual ini menunjukkan komitmen KCIC untuk menyediakan pengangkutan laju yang selamat, selesa dan fleksibel kepada orang ramai. Kami berharap perkhidmatan yang diperluaskan ini dapat meningkatkan akses kepada Whoosh serta memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap pengangkutan pantas,” katanya.

    Whoosh merupakan kereta api laju pertama di Indonesia dan Asia Tenggara, yang mampu mencapai kelajuan sehingga 350 kilometer sejam.

    Perkhidmatan itu memendekkan tempoh perjalanan antara Jakarta dan Bandung daripada tiga jam kepada hanya 40 minit. – Xinhua

    Orang ramai berjalan berdekatan kereta api berkelajuan tinggi semasa ujian perjalanan di stesen Halim di Jakarta, Indonesia pada 18 September 2023. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda