Monday, May 20, 2024
30.8 C
Brunei

    -

    Wusyu sumbang pingat emas, gangsa

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Kontinjen wusyu negara terus menampilkan prestasi yang memberangsangkan pada edisi Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) ke-32 di Kemboja setelah berjaya merangkul satu lagi pingat emas buat kontinjen negara dalam acara Taijijian Lelaki yang berlangsung hari ini bertempat di Chroy Changvar Convention Center Hall A.

    Berkenan berangkat bagi menyempurnakan penyampaian pingat-pingat kepada pemenang dalam acara Taijijian Lelaki ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei Darussalam.

    Pingat emas yang diperolehi Hosea Wong Zheng Yu setelah berjaya mengutip markah keseluruhan sebanyak 19.189 mata berbanding pencabar terdekatnya dari Singapura yang ketinggalan di belakangnya dengan 19.119 mata.

    Manakala atlet dari Malaysia terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa setelah mengutip 18.94 mata dalam acara berkenaan.

    Sementara itu, seorang lagi atlet wusyu negara yang memberikan saingan yang padu pada temasya Sukan SEA kali ini ialah Basma Lachkar yang berjaya mendapat kedudukan podium dan menambah koleksi pingat gangsa buat kontinjen negara pada acara Taijijian Wanita.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah semasa berkenan bergambar ramai bersama para pemenang dengan pingat yang dimenangi. – Gambar serahan Urus setia
    Basma Lachkar dan para pemenang bergambar bersama pingat yang dimenangi.

    Basma terpaksa berpuas hati berada di tempat ketiga dengan markah 19.160 mata berada di belakang atlet Malaysia yang meraih perak dengan markah keseluruhan 19.196 dan emas menjadi milik atlet dari Filipina dengan markah 19.263.

    Seorang lagi atlet wusyu wanita negara, Lim Yee Sean yang bertanding dalam acara tersebut juga turut mempamerkan persembahan yang menarik dan berjaya menduduki tempat ke-6 dengan mengutip 18.599 mata keseluruhannya.

    Mohd Adi Salihin bin Roslan yang juga bertanding dalam acara Nandao Lelaki hari ini terlepas kedudukan podium dan menduduki tempat keempat dengan markah keseluruhan sebanyak 18.81.

    Manakala Walid Lachkar yang mengambil bahagian dalam acara Changquan Lelaki pula berjaya menduduki tempat ke-7 dari 14 peserta dengan mengutip 9.26 mata.

    Hosea Wong Zheng Yu menjelaskan bahawa beliau berasa begitu terkesan dan tidak menduga sama sekali untuk mendapat sebarang pingat apatah lagi untuk mendapatkan pingat emas seperti yang dicapainya pada hari ini.

    “Bagi saya, ia sangat berbaloi untuk menjalani semua latihan keras yang saya jalani semasa di China untuk bersedia pada temasya Sukan SEA ini.

    “Lebih-lebih lagi di mana pada temasya Sukan SEA yang lalu di Vietnam, saya tidak mendapat keputusan yang baik yang benar-benar menjejaskan keyakinan diri saya tetapi terima kasih kepada pingat emas ini, saya akan terus berlatih bersungguh-sungguh dan membanggakan Brunei,” katanya.

    “Saya juga amat berterima kasih kepada sokongan luar biasa daripada kerajaan, jurulatih saya, rakan saya dan keluarga saya. Tanpa bantuan mereka, saya tidak fikir saya akan berpeluang untuk meneruskan dan bersaing dalam Sukan SEA,” kongsi Hosea Wong Zheng Yu yang memberikan pingat emas kedua buat negara pada edisi Sukan SEA kali ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Lai Ching-te dilantik sebagai presiden Taiwan

    TAIPEI, 20 MEI - Lai Ching-te mengangkat sumpah sebagai presiden baharu Taiwan pada Isnin, memulakan penggal di mana beliau dijangka meneruskan dasar kemerdekaan de...