Saturday, November 2, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Amorim sah pengurus baharu United

    LONDON, 1 NOV – Ruben Amorim secara rasmi dilantik sebagai pengurus baharu Manchester United hari ini, menggantikan Erik ten Hag yang dipecat.

    Jurulatih berusia 39 tahun dari Portugal itu, yang pernah meraih dua gelaran Liga Primeira bersama Sporting Lisbon, menandatangani kontrak sehingga 2027 dan dijangka menyertai kelab itu pada 11 November.

    “Manchester United berbesar hati untuk mengumumkan pelantikan Ruben Amorim sebagai ketua jurulatih pasukan utama lelaki, tertakluk kepada kelulusan visa kerja,” kata kenyataan kelab tersebut di laman webnya.

    “Dia akan menyertai kelab sehingga Jun 2027, dengan pilihan selama setahun tambahan, sebaik sahaja dia memenuhi kewajipannya dengan kelab sekarang.”

    United memuji Amorim sebagai salah seorang jurulatih muda paling berpotensi dan berkaliber dalam bola sepak Eropah.

    Amorim hadir semasa perlawanan Piala Liga Portugal antara Sporting CP dan Nacional di Stadium Alvalade, Lisbon, baru-baru ini. – AP

    “Sebagai pemain dan jurulatih berpengalaman, pencapaiannya termasuk menjuarai Liga Primeira sebanyak dua kali bersama Sporting CP – yang pertama merupakan gelaran liga pertama Sporting dalam tempoh 19 tahun,” menurut kenyataan itu.

    Ruud van Nistelrooy akan terus mengendalikan pasukan sehingga Amorim tiba di Old Trafford.

    Amorim akan menguruskan tiga perlawanan terakhir bersama Sporting sebelum rehat antarabangsa, bermula dengan perlawanan menentang Estrela hari ini.

    Sporting dijadual bertemu Manchester City dalam Liga Juara-juara pada Selasa depan, manakala perlawanan terakhir Amorim bersama Sporting adalah menentang bekas kelabnya, Braga, pada 10 November.

    Perlawanan pertama Amorim sebagai pengurus United dijangka berlangsung pada 24 November menentang Ipswich yang kini bergelut di kedudukan tercorot liga.

    Sporting mengeluarkan kenyataan bahawa mereka telah mencapai persetujuan dengan Manchester United berhubung pemergian Amorim, di mana United bersetuju membayar AS$12 juta.

    United memecat Ten Hag pada Isnin selepas kekalahan 1-2 kepada West Ham menyebabkan mereka berada di tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris, dengan hanya tiga kemenangan daripada sembilan perlawanan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda