Saturday, November 2, 2024
34.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel suria tingkat pertanian lestari

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Universiti Teknologi Brunei (UTB) melalui Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi AgriMakanan (CrAFT), dengan sokongan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, menganjurkan bengkel dua hari mengenai tenaga suria untuk pertanian bermula 20 hingga 21 September 2024.

    Pengarah CrAFT, Dr Syazana Abdullah Lim, dalam ucapan perasmiannya, menekankan kepentingan penggunaan tenaga suria dalam sektor pertanian bagi memenuhi keperluan global terhadap makanan.

    “Permintaan global terhadap makanan semakin meningkat dan penting bagi kita untuk mengaplikasikan penyelesaian inovatif yang dapat meningkatkan produktiviti pertanian tanpa memberi tekanan kepada sumber bumi. Pertanian berasaskan tenaga suria bukan sahaja mendesak dari sudut alam sekitar, malah peluang ekonomi bagi petani untuk mengurangkan kos tenaga dan meningkatkan kecekapan,” jelasnya.

    Bengkel ini menghimpunkan pelbagai pihak, termasuk petani, usahawan pertanian, dan agensi kerajaan bagi membincangkan aplikasi praktikal tenaga suria dalam amalan pertanian.

    Bengkel tersebut bertujuan membekalkan peserta dengan pengetahuan teknikal untuk membuat keputusan yang tepat mengenai penggunaan teknologi suria di ladang mereka serta berkolaborasi dengan penyelidik tenaga suria.

    Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada matlamat CrAFT untuk pembangunan lestari, khususnya dalam membangunkan teknologi suria yang mampu milik dan sesuai untuk ladang berskala kecil dan sederhana. Sepanjang bengkel, peserta diberi pendedahan secara langsung serta bimbingan daripada pakar mengenai cara teknologi suria dapat membantu mengurangkan kos, meningkatkan kecekapan, dan mengurangkan kesan alam sekitar dalam sektor pertanian.

    Para peserta juga diajar kemahiran praktikal berkaitan peralatan berkuasa suria, termasuk reka bentuk, pemasangan, operasi, dan penyelenggaraan. Mereka diberikan pengetahuan serta strategi praktikal untuk mengintegrasikan tenaga suria ke dalam operasi pertanian masing-masing.

    Dengan fokus kepada tenaga boleh diperbaharui, pemuliharaan, dan ketahanan iklim, bengkel itu diharapkan dapat memberi peserta alat dan ilmu yang diperlukan untuk menghadapi perubahan dalam dunia pertanian moden.

    Antara yang hadir pada bengkel tersebut ketika sesi bergambar ramai. – GAMBAR SERAHAN UTB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda