Monday, May 20, 2024
30.8 C
Brunei

    -

    Benteng pertahanan Speedy Tigers semakin serasi

    IPOH, 8 MEI – Penjaga gol pasukan hoki kebangsaan Malaysia, Muhammad Hafizuddin Othman percaya keserasian benteng pertahanan skuad Speedy Tigers yang baharu semakin serasi selepas tiga aksi di peringkat antarabangsa pada Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) ke-30 di sini.

    Pemain berusia 32 tahun itu yang menjadi antara watak utama untuk menewaskan pasukan di ranking ke-10 dunia iaitu New Zealand dengan kedudukan 6-4 malam tadi, berkata kombinasi Kapten Muhammad Marhan Mohd Jalil, Syarman Mat Tee dan Muhammad Syafiq Hassan semakin utuh untuk menyekat gawang Malaysia dibolosi.

    “Dalam aksi semalam pun, kita tengok memang kerap mereka melakukan pintasan hantaran lawan dan kawal benteng pertahanan dengan baik, jadi saya rasa kalau diberikan masa lagi mereka boleh lebih baik pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita malam tadi.

    Muhammad Hafizuddin yang mempunyai 109 penampilan bersama Malaysia, berjaya mematahkan beberapa serangan penting skuad Black Sticks semalam, termasuk menyelamatkan pukulan penalti Jonty Elmes, 18 saat sebelum tamat suku kedua untuk dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

    Beliau berkata bimbingan daripada jurulatih penjaga gol S Kumar pada sesi latihan pukulan penalti banyak membantunya walaupun gagal menyelamatkan percubaan pertama Elmes pada minit ke-28.

    Skuad Speedy Tigers yang dikecewakan dengan kekalahan 4-5 kepada Pakistan pada Sabtu, berjaya bangkit untuk membenam Kanada 6-2 pada Ahad, sebelum kemenangan penting ke atas New Zealand yang menjadi satu-satunya pasukan pada kejohanan kali ini yang layak ke Olimpik Paris. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    17,000 warga emas di Jepun meninggal dunia sendirian di rumah

    TOKYO, 19 MEI - Satu tinjauan terkini oleh Agensi Polis Kebangsaan Jepun (NPA) menunjukkan bahawa 17,034 warga emas yang tinggal bersendirian telah meninggal dunia...