Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JAN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, hari ini, telah berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Berbedak Pengantin Diraja bagi Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dengan Dayang Anisha Rosnah binti Adam.
Majlis gilang-gemilang serta penuh adat istiadat itu berlangsung di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman.
Keberangkatan Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri didahului oleh Penglima Diraja yang membawa Pemuras dan Karga, dan Penglima Asgar yang membawa Kelasak dan Kampilan serta diiringi oleh Pembawa-Pembawa Alat-Alat Perhiasan Tunggal.
Berangkat sama dan seterusnya berkenan menculiki bedak diraja, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Juga menculiki bedak diraja, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.
Turut berangkat, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam serta kerabat diraja yang lain.
Istiadat menculiki bedak diraja didahului oleh Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri kepada DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Istiadat menculiki bedak diraja turut dilakukan oleh Datin Paduka Seri Hajah Mariam binti Abdul Aziz serta ayahanda dan bonda pengantin diraja perempuan, Awang Adam bin Abdullah dan Dayang Siti Mariam binti Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa.
Terdahulu itu, majlis dimulakan dengan keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ke Balai Singgahsana Indera Buana dengan diapit oleh DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dengan didahului oleh 40 Sinipit yang dibawa oleh Awang-Awang.
Sebaik sahaja pengantin diraja lelaki duduk di tempat yang dikhaskan, Pembawa Dian Tunggal, Pahawai 7 dan Dian 16 akan duduk, manakala Alat-Alat Kebesaran Diraja yang dibawa oleh Awang-Awang iaitu 16 Pedang dan Perisai, 16 Tumbak Bendarangan dan 8 Kabok dan Panastan berdiri di kiri kanan majlis.
Istiadat didahului dengan Dikir Syarafil Anam iaitu Dikir Marhaban dan sampai sahaja kepada perenggan ‘Ya Habibi’, Baginda Sultan dijunjung menculiki bedak diraja kepada Duli Yang Teramat Mulia dan sejurus itu diikuti oleh tembakan meriam sebanyak 17 das sebagai menandakan bermulanya istiadat.
Kemudian, istiadat menculiki bedak diraja diikuti oleh Baginda Raja Isteri dan kerabat diraja, termasuk ayahanda dan bonda pengantin diraja perempuan.
Setelah selesai Istiadat Berbedak Pengantin Diraja Lelaki, Awang-Awang membawa masuk teks Doa Selamat untuk dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berangkat dari Balai Singgahsana Indera Buana dengan penuh adat istiadat sebelum majlis Istiadat Berbedak Pengantin Diraja diteruskan bagi pengantin diraja perempuan, Dayang Anisha Rosnah dengan urutan adat istiadat yang sama.
Acara itu didahului oleh Dikir Syarafil Anam (Dikir Marhaban) kemudian Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berkenan menculiki bedak diraja kepada Dayang Anisha Rosnah dengan diikuti kerabat diraja termasuk ayahanda dan bonda pengantin diraja perempuan.
Istiadat tersebut diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.
Selepas YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris menyembahkan bahawa Istiadat Berbedak Pengantin Diraja telah sempurna dilaksanakan, Baginda Sultan menitahkan supaya majlis ditutup.
Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berserta kerabat diraja berangkat dari majlis diikuti oleh pembesar-pembesar negara serta para jemputan.