Monday, December 2, 2024
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Burger ayam istimewa ala Korea

    KOREA – Walaupun kebanyakan kedai burger di Seoul berasa bangga dengan pai daging lembu berkualiti tinggi dan roti buatan sendiri, akan tetapi salah sebuah restoran burger telah mengambil pendekatan berbeza dengan mencipta burger istimewa yang tidak pernah dibuat sebelum ini.

    Restoran burger yang membuka cawangan pertamanya di Seongsu pada 2019 itu khusus dalam membuat burger ayam.

    Salah satu hidangan utama, Burger Ayam Pedas Nashville yang istimewa terdiri daripada burger ayam yang dipenuhi dengan coleslaw kubis merah dan isi paha ayam goreng yang rangup ditaburi serbuk pedas – awda boleh memilih daripada tiga tahap kepedasan yang berbeza.

    Namun restoran burger itu memperkenalkan pelbagai jenis burger ayam setiap bulan, sekali gus memberikan sentuhan makanan Korea yang istimewa.

    Burger istimewa yang terdapat di restoran itu baru-baru ini merupakan Diane Ayam, terdiri daripada ban brioche panjang berisi ayam panggang dan dihiasi dengan sos krim Diane, asparagus panggang, cendawan dan kentang tumbuk. Diane Ayam ialah burger ayam istimewa ke-30 yang akan diperkenalkan oleh restoran itu.

    Burger Ayam Pedas Nashville. – ANN/The Korea Herald
    Diane Ayam. – ANN/The Korea Herald
    Kubis panggang. – ANN/The Korea Herald
    Pencuci mulut istimewa pai ceri. – ANN/The Korea Herald
    Gambar seoulshopper

    Beberapa burger ayam istimewa yang disajikan sebelum ini telah menggunakan bahan-bahan yang jarang digunakan dalam pembuatan burger antaranya minari, ketumbar, kentang berbentuk teratai dan zucchini.

    Bukan itu sahaja, cara mereka memasak ayam untuk burger istimewa tersebut juga amat kreatif contohnya, ayam samgye confit, ayam nurungji, ayam Pad Thai atau ayam tsukune ala Jepun.

    Burger istimewa tersebut bukan sahaja mempunyai rasa yang sedap dan mengenyangkan, malahan cara restoran itu bereksperimen dengan burger juga telah menimbulkan pelbagai perasaaan gembira dan teruja kepada para pelanggan.

    Hidangan sampingannya, yang sentiasa berubah mengikut musim, membezakan restoran burger itu daripada tempat burger yang lain.

    Menggunakan bahan-bahan bermusim yang ringkas seperti kentang, tomato ceri, terung atau labu butternut, seseorang mungkin teringin untuk menghabiskan keseluruhan burger yang mempunyai kepelbagaian rasa yang dihidang di atas pinggan kecil.

    Daripada lima hidangan sampingannya, satu atau dua merupakan sajian istimewa, di mana ia hanya dihidangkan pada bulan tertentu atau lebih lama daripada itu. Menu sampingan bulan ini termasuk kubis panggang yang dihiasi dengan keju parut parmesan dan ketulan daging tebal.

    Apa yang unik dalam persekitaran dalaman restoran ala-ala Amerika yang bertemakan warna merah dan hitam itu ialah semua pengunjung ditawarkan tuala hangat di meja mereka, mewujudkan perasaan seperti menjamu selera di restoran mewah.

    Dalam konteks yang sama, restoran itu turut menawarkan dua jenis pencuci mulut iaitu s’mores dan pai yang menggunakan buah-buahan bermusim seperti ceri yang bertujuan untuk memastikan pelanggan melengkapi hidangan mereka dengan pencuci mulut yang enak.

    Restoran tersebut kini mempunyai empat cawangan, tiga di Seoul dan satu di Daejeon. – ANN/The Korea Herald

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda