Saturday, October 19, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cakra Khan simpan kesedihan mendalam

    Di sebalik gelak tawa vokalis popular Indonesia, Cakra Khan, ternyata dirinya memendam kesedihan begitu mendalam.

    Apa tidaknya, air mata penyanyi berusia 31 tahun itu tumpah pada saat mendendangkan lagu Ayah yang pernah dipopularkan Rinto Harahap sebagai ‘tribute’ khas buat bapa tercinta, Allahyarham Hermana.

    Aksi itu dilihat ketika Cakra menjayakan Konsert A Decade Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2023 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.

    Paduan vokal Cakra bersama susunan melodi baharu hasil sentuhan pengarah muzik terkemuka, Datuk Ramli MS berjaya menghurai makna sebenar di sebalik lagu Ayah, lantas menyentuh emosi lebih 2,500 penonton yang hadir.

    Cakra terus membuai emosi penonton dengan lagu Kepada Hati, Mencari Cinta Sejati, Opera Tuhan termasuk lagu baharu berjudul Nanti sebelum meneruskan momentum bertenaga dengan Hanya Memuji nyanyian asal Shanty, I Will Survive (Gloria Gaynor), Jealous (Labyrinth) dan Kamelia (Sweet Charity).

    Cakra Khan masih merasa sedih atas pemergian bapanya sehingga menangis ketika konsertnya baru-baru ini. – Agensi

    Pemilik nama sebenar Cakra Konta Paryaman itu turut berduet dengan dua penyanyi popular, Khai Bahar dan Aina Abdul menerusi lagu Bukan Cinta Biasa, Seluruh Cinta dan Terlalu Cinta.

    Antara selebriti yang turut hadir memberi sokongan termasuklah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Seri Rossa, Puteri Sarah Liyana, MK K-Clique, Azira Shafinaz, Nabil Ahmad, Fazura, Fattah Amin dan Sherry Alhadad.

    Sebelum menutup tirai konsert, Cakra memenuhi hasrat peminat dengan memperdengarkan lagu keramatnya, Harus Terpisah dan Kekasih Bayangan.

    Malah, Cakra turut berkongsi pentas dengan teman baiknya yang juga gitaris Govinda, Ade dengan menyampaikan lagu Tanpa Batas Waktu.

    Anak kelahiran Pangandaran, Jawa Barat, Indonesia itu turut melahirkan rasa syukur apabila menerima sokongan luar biasa. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda