Tuesday, September 10, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Evergrande tuntut AS$6 bilion dalam dividen, imbuhan

    BEIJING, 6 OGOS – Syarikat hartanah gergasi China, Evergrande, yang berdepan masalah hutang, berkata hari ini syarikat dan penyelesai kecairan sedang berusaha untuk mendapatkan kembali kira-kira AS$6 bilion dalam bentuk dividen dan imbuhan daripada tujuh individu atau entiti, termasuk pengasasnya.

    Dalam satu kenyataan yang diterbitkan di Bursa Saham Hong Kong kelmarin, Evergrande memaklumkan bahawa jumlah tersebut dituntut bagi ganti rugi yang berpunca daripada gambaran salah mengenai kedudukan kewangan kumpulan tersebut antara tahun 2017 dan 2020.

    Selain pengasas syarikat, Xu Jiayin, yang juga dikenali sebagai Hui Ka Yan, ‘isterinya atau bekas isterinya’, Ding Yumei, bekas Ketua Eksekutif, Xia Haijun dan bekas Ketua Pegawai Kewangan, Pan Darong, serta tiga entiti lain yang berkaitan dengan Xu dan Ding, turut dinamakan sebagai defendan dalam tuntutan tersebut.

    Evergrande, yang pernah menjadi syarikat hartanah terbesar di China dan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan pesat ekonomi negara itu, kini menjadi simbol krisis berpanjangan dalam sektor hartanah berikutan hutangnya yang semakin meningkat.

    Syarikat itu gagal melunaskan hutangnya pada tahun 2021 selepas bertahun-tahun bergelut untuk membayar balik pemiutang.

    Menurut laporan akhbar sejak tahun lepas, Xu dilaporkan berada dalam tahanan rumah, tetapi Evergrande tidak pernah mengesahkan atau menafikan laporan tersebut.

    Pengawal selia China berkata pada Mac mereka akan mengharamkan Xu daripada pasaran sekuriti seumur hidup berdasarkan sebab-sebab penipuan kewangan. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda