Thursday, January 9, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Getty Images, Shutterstock umum gabungan

    NEW YORK, 8 JAN – Dua buah agensi penerbitan kandungan gambar terbesar dunia, Getty Images dan Shutterstock, kelmarin mengumumkan rancangan untuk bergabung, sekali gus mewujudkan entiti baharu yang bakal menjadi gergasi dalam sektor kandungan visual.

    Menurut kenyataan bersama, kedua-dua firma itu merancang untuk mengintegrasikan platform imej masing-masing, dengan jangkaan penjimatan sebanyak AS$150 juta hingga AS$200 juta dalam tempoh tiga tahun selepas penggabungan selesai.

    Syarikat baharu yang akan dikenali sebagai Getty Image Holdings dianggarkan bernilai sekitar AS$3.7 bilion, menurut kenyataan itu.

    “Dengan permintaan yang terus meningkat untuk kandungan visual yang menarik dalam pelbagai industri, kini adalah masa terbaik untuk dua perniagaan kami bergabung,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Getty Images, Craig Peters.

    “Dengan menggabungkan kekuatan yang saling melengkapi, kami dapat memenuhi keperluan pelanggan dengan lebih baik sambil memberikan nilai luar biasa kepada rakan kongsi, penyumbang dan pemegang saham kami,” tambah beliau.

    Getty Images Holdings akan terus disenaraikan di Bursa Saham New York.

    Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Getty Images akan menawarkan pembayaran tunai sebanyak AS$331 juta serta 319.4 juta saham kepada pemegang saham Shutterstock.

    Sebaik sahaja penggabungan selesai, pemegang saham Getty Images akan memiliki kira-kira 54.7 peratus daripada entiti baharu itu, manakala pemegang saham Shutterstock akan memiliki kira-kira 45.3 peratus.

    Craig Peters akan kekal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat baharu itu, manakala Mark Getty, pengerusi semasa Getty Images yang juga pengasas bersama syarikat itu pada 1995, akan dilantik sebagai pengerusi. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda