Sunday, May 5, 2024
27.4 C
Brunei

    -

    Guna AI selamatkan haiwan dilanggar kenderaan

    RIO DE JANEIRO – Di Brazil, di mana kira-kira 16 haiwan liar menjadi mangsa pelanggaran kenderaan setiap saat, seorang saintis komputer telah menghasilkan penyelesaian futuristik untuk masalah harian berkenaan: menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memaklumkan pemandu tentang kehadiran haiwan tersebut.

    Pelanggaran-pelanggaran langsung di rangkaian jalan raya yang luas di negara Amerika Selatan itu merupakan ancaman utama kepada banyak spesies, terpaksa hidup dalam jarak yang lebih dekat dengan manusia.

    Menurut Pusat Ekologi Jalan Brazil (CBEE), kira-kira 475 juta haiwan vertebrata mati di jalan raya setiap tahun, kebanyakannya spesies yang lebih kecil seperti capybaras, armadillo dan oposum.

    “Ia adalah kesan langsung terbesar terhadap hidupan liar hari ini di Brazil,” beritahu penyelaras CBEE, Alex Bager kepada AFP.

    Terkejut dengan pembunuhan besar-besaran di negara paling biodiversiti di dunia, pelajar sains komputer, Gabriel Souto Ferrante mula bertindak.

    Papan tanda bertulis ‘Kurangkan kelajuan, lintasan haiwan liar’ dalam bahasa Portugis dilihat di jalan Roberto Burle Marx di barat Rio de Janeiro pada 17 April. – AFP
    Seekor ular mati di jalan Pontal di barat Rio de Janeiro pada 17 April lalu. – AFP
    Seekor ketam melintasi jalan. – AFP
    Seekor ular mati di jalan Roberto Burle Marx. – AFP
    Bakau dilihat dari jalan Roberto Burle Marx. – AFP

    Lelaki berusia 25 tahun itu bermula dengan mengenal pasti lima spesies bersaiz sederhana dan besar yang paling berkemungkinan menjadi mangsa jalanan iaitu puma, tenggiling gergasi, tapir, serigala dan jaguarundi, sejenis kucing liar.

    Souto, yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di University of Sao Paulo (USP), kemudian mencipta pangkalan data dengan beribu-ribu imej haiwan berkenaan, dan melatih model AI untuk mengecamnya dalam masa nyata.

    Banyak ujian menyusul, dan mencatat kejayaan, menurut hasil usahanya yang baru-baru ini diterbitkan dalam jurnal Scientific Reports.

    Souto bekerjasama dengan Institut Sains Matematik dan Komputer USP.

    Untuk projek itu menjadi kenyataan, Souto berkata saintis-saintis memerlukan ‘sokongan daripada syarikat yang menguruskan jalan raya,’ termasuk akses kepada kamera trafik dan peranti ‘edge computing’ – alat yang boleh menyampaikan amaran masa nyata kepada pemandu seperti yang dilakukan beberapa aplikasi.

    Selain itu, perlunya input daripada syarikat-syarikat konsesi jalan raya, “untuk mengalihkan haiwan itu atau menangkapnya,” katanya kepada AFP.

    Diharapkan teknologi itu, dengan mengurangkan pelanggaran dengan hidupan liar, juga akan menyelamatkan nyawa manusia.

    Bager berkata pelbagai strategi lain untuk menghentikan pertumpahan darah di jalan raya Brazil telah gagal.

    Papan tanda yang memberi amaran kepada pemandu supaya berwaspada terhadap haiwan yang melintas mempunyai sedikit kesan, katanya kepada AFP, yang membawa kepada pengurangan kelajuan hanya 3 peratus secara purata.

    Terdapat juga apa yang digelar jambatan-jambatan dan terowong fauna bertujuan untuk membawa haiwan dengan selamat dari satu bahagian jalan ke bahagian lain, dan pagar untuk menahannya – namun semuanya tidak mencukupi untuk menangani skop masalah itu, menurut Bager.

    Pada 2014, beliau mencipta aplikasi bernama Urubu bersama pakar-pakar ekologi lain, yang mana beribu-ribu pengguna menyumbang maklumat, membolehkan pengenalpastian tempat popular pembunuhan haiwan di jalan raya.

    Projek itu membantu mewujudkan kesedaran orang ramai, malah mengilhamkan rang undang-undang mengenai lintasan haiwan dengan selamat, yang sedang menunggu untuk diundi di Kongres.

    Kekurangan wang menyaksikan aplikasi itu ditutup tahun lepas, namun Bager berhasrat untuk mengaktifkannya semula.

    “Kita mempunyai lebih banyak jalan raya, lebih banyak kenderaan dan jumlah haiwan menjadi mangsa jalanan berkemungkinan terus meningkat,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pakistan catat hujan paling tinggi pada April dalam tempoh lebih 60...

    ISLAMABAD, 5 MEI - Pakistan mengalami bulan April paling banyak menerima curahan hujan sejak 1961, iaitu dua kali ganda hujan daripada biasa untuk bulan...