Thursday, November 7, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hiasan bertema arnab sambut ketibaan TBC

    SINGAPURA – Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) kembali meriah di jalan-jalan di Singapura selepas dua tahun diraikan secara sederhana disebabkan COVID-19.

    Chinatown telah berubah wajah menjadi Pusat Arnab, apabila tanglung berbentuk arnab dan perhiasan bertemakan arnab dipasang untuk mengalu-alukan pelawat.

    Tahun Arnab bermula pada 22 Januari dan perayaan TBC telah kembali sepenuhnya selepas sekatan COVID selama dua tahun. Perayaan TBC tahun ini di Chinatown mempunyai tema ‘Menyambut Tahun Makmur Arnab’. Dianjurkan oleh Jawatankuasa Festival Chinatown dan disokong oleh Lembaga Pelancongan Singapura, lampu perayaan akan bergemerlapan setiap malam hingga 19 Februari.

    Tanglung cantik berbentuk arnab dan lampu jalan mendereti New Bridge Road, Eu Tong Sen Street, South Bridge Road dan buat pertama kali, Upper Cross Street.

    Keluarga arnab beberapa generasi berkumpul bersama untuk TBC di pentas hiasan utama setinggi 10 meter yang terletak di persimpangan Upper Cross Steet dan New Bridge Road. Perhiasan jalan yang menarik perhatian itu adalah hasil kerja keras selama beberapa bulan oleh sekumpulan pelajar Universiti Teknologi Singapura diketuai Corliss Tay dan Phua Rui Yi Sarah.

    Hiasan utama adalah set tanglung Sungai Hongbao yang memaparkan pokok magnolia dalam bentuk huruf Cina untuk ‘arnab’. – ANN/The Straits Times
    Para peniaga juga bersiap sedia menerima pengunjung ke gerai-gerai ketika mereka membeli barangan perhiasan untuk TBC. – ANN/The Straits Times
    Keluarga arnab beberapa generasi akan berkumpul untuk TBC sebagai hiasan tengah di Upper Cross Street dan New Bridge Road. – ANN/The Straits Times
    Pintu gerbang yang tersergam megah itu terdiri daripada tiga gerbang. – ANN/The Straits Times

    Mereka dibantu oleh penyelaras pelajar Kong Mei Jia dan dibimbing Dr Zheng Kai, rakan fakulti di sekolah Seni Bina dan Reka Bentuk Mapan.

    Pemasangan perhiasan untuk acara tahunan itu bermula beberapa minggu lalu.

    Pada 29 Disember 2022, pekerja mendirikan pentas dengan tali tugas berat dan rantai sebelum ia dinaikkan oleh kren di atas struktur yang membentuk sebahagian pentas. Kemudian, bumbung dinaikkan dan dipasang pada struktur.

    Pemasangan diteruskan sehingga awal pagi 30 Disember, ketika pekerja menyambungkan kabel elektrik tanglung pokok sakura sebelum ia dinaikkan ke struktur pentas. Seterusnya, sentuhan akhir dilakukan pada topi di atas tanglung arnab sebelum tanglung-tanglung berkenaan dinaikkan satu per satu ke platform.

    Keluarga beberapa generasi arnab itu mengambil masa dua jam untuk ‘disatukan’ di atas pentas. Akhir sekali, kepingan perekat vinil berwarna merah dilekatkan di sekeliling pentas utama.

    Pada pelancaran Festival TBC Chinatown 2023 pada 3 Januari, Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong berkata lampu-lampu pada tahun ini adalah ‘amat istimewa’ walaupun Singapura pernah meraikan tradisi itu selama lebih 20 tahun. Wong, juga Menteri Kewangan, berkata, ”Sejak dua tahun lalu, kami belum lagi dapat berkumpul dalam kumpulan besar, kami belum mengadakan festival yang sama dianjurkan disebabkan sekatan COVID. Namun tahun ini, akhirnya kami boleh meneruskan kesemua aktiviti dan meraikannya dalam suasana meriah.”

    Festival TBC Chinatown tahun ini termasuk pertunjukan pentas mingguan dan parti pengiraan detik pelancaran. Ia juga menandakan kepulangan pesta perayaan, acara tahunan yang digantung sejak dua tahun lalu.

    Khemah-khemah dalam warna merah dan putih kembali lagi di Jalan Temple. Para peniaga juga telah bersiap sedia menerima pengunjung ke gerai-gerai ketika mereka membeli barangan perhiasan untuk TBC.

    Pesta perayaan, juga dikenali sebagai bazar TBC, memaparkan 280 gerai yang menjual kudapan perayaan di Smith Street, Pagoda Street, Trengganu Street dan Temple Street.

    Untuk menambah lagi kemeriahan perayaan, parti pengiraan detik pelancaran akan diadakan di Kreta Ayer Square sehari sebelum TBC pada 21 Januari.

    Tidak jauh dari Chinatown adalah Gardens by the Bay, yang menganjurkan Sungai Hongbao untuk tahun ketiga berturut-turut, dari 20 hingga 28 Januari. Seorang pekerja wanita memotong fabrik berlebihan dan menggunakan pelekat pada tanglung berbentuk lobak ketika rakan sekerjanya mendirikan gerbang di pintu masuk The Meadow, Gardens by the Bay, pada 31 Disember lalu.

    Pintu gerbang yang tersergam megah itu terdiri daripada tiga gerbang. Gerbang tengah didirikan dalam bentuk huruf Cina ‘ji’, yang membawa makna tuah, sementara dua gerbang sisi berbentuk arnab.

    Pelawat yang berjalan menerusi pintu gerbang besar itu akan ‘memasuki’ Tahun Arnab yang dilimpahi dengan rahmat dan nikmat hidup. Acara Sungai Hongbao yang telah diadakan sejak 1987, merupakan salah satu festival TBC paling meriah di Singapura.

    Pelawat boleh melihat tanglung dan mengambil bahagian dalam permainan karnival sambil menikmati persembahan oleh penyanyi getai dan artis tempatan. Tanglung yang dipasang di Gardens by the Bay diinspirasikan oleh pelaburan Singapura dalam teknologi angkasa lepas.

    Tanglung dalam bentuk arnab berpakaian angkasa lepas menaiki roket berbentuk lobak menyerlahkan perhiasan pada acara tersebut. Ia berlepas ke angkasa dan masa depan dinamik.

    Tahun ini, tanglung-tanglung telah memasukkan tema moden, idea dan budaya pop.

    Di Flower Dome, pameran bunga TBC dengan tema Impian Dahlia, memaparkan 100 patung arnab yang bermain-main dalam kalangan 2,000 tumbuhan, termasuk 40 jenis bunga dahlia dan bunga TBC lain.

    Hiasan utama adalah set tanglung Sungai Hongbao enam meter yang memaparkan pokok magnolia dalam bentuk huruf Cina untuk ‘arnab’.

    Disepadukan dalam pameran bunga adalah kisah Kura-Kura dan Arnab daripada Cerita Dongeng Aesop.

    Bukan itu sahaja. Impian Dahlia juga memaparkan tradisi perayaan popular seperti potongan kertas dan tarian singa. – ANN/The Straits Times

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda