Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ICoPP kongsi pengetahuan dalam bidang psikologi

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Seramai 350 peserta telah menghadiri Persidangan Antarabangsa Psikologi dan Pedagogi (ICoPP) 2024 yang berlangsung di Dewan Tarbiah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.

    Persidangan anjuran KUPU SB melalui Fakulti Pendidikan dan Sains Kemasyarakatan dengan kerjasama Jabatan Pengajian Islam (JPI), KHEU bertemakan Pedagogi Berkesan Berteraskan Psikologi Holistik itu turut dihadiri oleh guru-guru pendidikan Islam, JPI, ahli akademik dan pelajar KUPU SB, pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC), persendirian dan peserta luar negara.

    Persidangan berkenaan membentangkan satu kertas perdana dan empat kertas kerja.

    Dalam ucapan alu-aluan pengerusi bersama persidangan, Profesor Madya Dr Shahril bin Ahmad Razimi menjelaskan antara objektif penganjuran ICoPP 2024 adalah sebagai wadah bagi para peserta memperoleh pengetahuan terkini dalam bidang psikologi dan pedagogi, termasuk teori, kajian, dan amalan terbaik.

    Dr Goolam Hussein Rassool menyampaikan pembentangan semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara jemputan yang hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Persidangan seterusnya menyaksikan pembentangan perdana disampaikan oleh Dr Goolam Hussein Rassool dari Centre of Islamic Studies and Civilisation, Charles Stuart University Australia, bertajuk Integrating Islamic Psychology into Modern Educational Practices yang antara lain menjelaskan pengintegrasian psikologi Islam ke dalam amalan pendidikan moden, dengan menumpukan kepada penyelarasan antara ilmu Islam klasik dan kaedah pengajaran kontemporari.

    Manakala, pembentang ucaptama pertama, Penolong Kanan Profesor dari Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam, Dr Hajah Salwa binti Dato Seri Setia Haji Mahalle yang membincangkan tajuk Empowering Well Being: Harmonising Holistic Psychology and Pedagogy menyatakan bahawa mengharmonikan psikologi holistik dan pedagogi melibatkan pengintegrasian prinsip psikologi dengan amalan pendidikan untuk mencipta pendekatan pengajaran yang lebih komprehensif dan berkesan.

    Sementara, Profesor Madya Dr Mohd Noor bin Saper dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia, selaku pembentang ucaptama kedua membentangkan mengenai The Need for Islamic Guidance and Counselling in Addressing Various Social Issues menjelaskan bahawa perkembangan modenisme hari ini telah menggarap satu pendekatan intervensi yang praktikal serta memenuhi keperluan psikologikal insan yang menyeluruh.

    Persidangan diteruskan pada sebelah petang dengan pembentangan ucaptama ketiga daripada Consultant Organizational Psychologist, Malaysia, Dr Alizi Alias, bertajuk Psychology and Islam: Islamisation, Relevantisation and Integration.

    Pembentangan ucaptama keempat iaitu Profesor Dr Adi Atmoko dari Universitas Negeri Malang, Indonesia membincangkan mengenai pembelajaran berdasarkan Musyawarah: Merajut Keragaman untuk Mencapai Keharmonian dan Karakter Murid menjelaskan bahawa kepelbagaian pelajar secara demografi, sosiologi, fisiologi dan psikologi merupakan suatu fakta yang jika tidak diurus dengan baik maka menimbulkan perilaku negatif pelajar.

    Menurut kenyataan KUPU SB, ICoPP 2024 dijangka disertai oleh kira-kira 125 orang peserta.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda