Monday, September 16, 2024
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kekurangan kakitangan jejas operasi bilik kecemasan hospital di Korea Selatan

    SEOUL, 4 SEPT – Kementerian Kesihatan Korea Selatan hari ini mula menghantar doktor tentera dan pegawai perubatan awam ke bilik kecemasan yang kekurangan kakitangan, namun kebimbangan mengenai gangguan terhadap sistem kesihatan semakin meningkat.

    Yonhap melaporkan seramai 15 doktor tentera dihantar ke lima hospital termasuk Pusat Perubatan Universiti Wanita Ewha di Seoul dan Hospital Universiti Ajou di Suwon, manakala kerajaan bercadang menghantar kira-kira 230 doktor tentera dan pegawai perubatan awam ke hospital-hospital lain di seluruh negara.

    Langkah ini diambil selepas kebanyakan daripada 13,000 doktor muda Korea Selatan meletak jawatan sejak Februari sebagai protes terhadap keputusan kerajaan untuk menambah kuota pelajar perubatan secara besar-besaran bermula tahun depan.

    Tindakan ini memberikan tekanan kepada sistem perubatan negara, memaksa hospital mengurangkan operasi pembedahan, perkhidmatan pesakit luar dan operasi bilik kecemasan.

    Kerajaan mendakwa keadaan masih terkawal, tetapi doktor dan pakar berkata penghantaran doktor tentera hanya penyelesaian sementara.

    Setakat kelmarin, tiga hospital termasuk Hospital Universiti Nasional Kangwon di Chuncheon memendekkan waktu operasi bilik kecemasan pada waktu malam dan hujung minggu.

    Keadaan dijangka bertambah buruk semasa cuti Chuseok pada pertengahan September, dengan beberapa hospital seperti Hospital St Mary di Seoul mempertimbangkan untuk menghentikan operasi bilik kecemasan pada waktu malam. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda