Wednesday, November 13, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kellie’s Castle teroka potensi pelancongan seram

    BATU GAJAH – Sejak sekian lama, kisah paranormal di Kellie’s Castle berlegar dalam masyarakat dengan penampakan yang didakwa ‘Kellie-Smith’ dan ‘Mr Gopal’ merupakan antara magnet yang menarik pengunjung ke rumah agam berusia lebih 100 tahun itu.

    Malah, ada yang berkata tidak lengkap kunjungan ke Perak jika tidak singgah di Kellie’s Castle yang terletak di Jalan Gopeng di sini, dengan naratif yang kerap dikongsikan di alam siber, atau dari mulut ke mulut, ialah ‘keunikan’ pengalaman mereka ketika berada di situ, terutama menjelang senja.

    Bagi Pengarah Urusan Tapak Pelancongan Kellie’s Castle, Zamari Muhyi, walaupun beliau tidak mengalami sendiri insiden paranormal yang tersebar, kejadian seorang peserta Program Eksplorasi Merungkai Misteri Kellie’s Castle ‘didampingi’ Mr Gopal pada 2015 masih segar di ingatannya.

    “Semasa dirawat, peserta itu memberitahu perawat bahawa namanya Mr Gopal dan bekerja sebagai tukang dobi di rumah agam berkenaan. Kononnya Mr Gopal ini terkilan kerana majikannya (William Kellie-Smith) melanggar janji untuk menghantarnya balik ke India, dan atas sebab itulah dia terus ‘tinggal’ di Kellie’s Castle,” kongsinya kepada Bernama baru-baru ini.

    Sekalipun kesahihan kisah dan kewujudan Mr Gopal ini tidak dapat dipastikan, suasana dan persekitaran rumah agam itu sendiri sudah cukup untuk meremangkan bulu roma pengunjung yang lemah semangat.

    Kisah paranormal di Kellie’s Castle antara magnet yang menarik pengunjung ke rumah agam berusia lebih 100 tahun itu. – Bernama
    Persekitaran, misteri serta insiden paranormal ini membentuk pakej lengkap Kellie’s Castle dalam dark tourism. – Bernama
    Zamari Muhyi yang ditemu ramah Bernama baru-baru ini. – Bernama
    Hakim Muhaimin menceritakan beberapa pengalaman di Bilik Linen atau Bilik Dobi yang dikaitkan dengan identiti Mr Gopal di rumah berkenaan. – Bernama
    Sesetengah pelancong ada yang berkata tidak lengkap kunjungan ke Perak jika tidak singgah di Kellie’s Castle yang terletak di Jalan Gopeng di sini. – Bernama

    DESTINASI DARK TOURISM

    Persekitaran, misteri serta insiden paranormal ini membentuk pakej lengkap Kellie’s Castle dalam dark tourism, iaitu subsektor pelancongan seram yang semakin mendapat perhatian di peringkat global dan dijangka terus meningkat dalam tempoh 10 akan datang.

    Menurut firma penyelidikan pasaran Future Market Insights, pasaran dark tourism global dijangka mencatat nilai AS$31.89 bilion (RM148.68 bilion) menjelang akhir tahun ini.

    Laporan itu juga mengunjurkan pasaran tersebut berkembang kepada AS$40.82 bilion (RM190.32 bilion) menjelang 2034.

    Berdasarkan trend semasa, sewajarnya pihak berwajib meningkatkan usaha menjaja Kellie’s Castle sebagai satu destinasi seram yang perlu dilawati, terutamanya oleh pelancong asing.

    Mengulas lanjut, Zamari yang merupakan Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputra Perak, berkata subsektor itu belum diusahakan secara meluas oleh pemain industri pelancongan di negara ini disebabkan oleh beberapa kekangan termasuk kepercayaan masyarakat setempat.

    “Bukan mudah untuk mempromosikan dark tourism ini kerana kita perlu pastikan pelawat merasai pengalaman ‘berdekatan’ dengan entiti paranormal tersebut,” katanya, menambah usaha memasarkan Kellie’s Castle sebagai produk dark tourism dilakukan bagi meningkatkan lagi jumlah pengunjung.

    “Selepas mengambil alih pengurusan pada 2013, saya meneliti kekuatan Kellie’s Castle yang boleh dipasarkan, kerana, jika diperkenalkan dari sudut sejarah sahaja, tidak ramai yang minat. Kalau dari sudut (reka bentuk) bangunan pula, hanya akan menarik peminat fotografi dan seni bina sahaja.

    “Akhirnya timbullah idea dark tourism ini,” jelasnya.

    BUKAN JUAL HANTU

    Menurutnya, untuk memasarkan rumah agam itu sebagai destinasi pelancongan menyeramkan, pihak pengurusan perlu mengesahkan bahawa wujud unsur-unsur paranormal.

    Untuk itu, Zamari berkata pihaknya bekerjasama dengan sebuah organisasi media tempatan dan berjaya mengesan serta mengeluarkan kisah seram yang dibuktikan dengan rakaman video.

    “Hasilnya, kami perkenalkan paranormal tour, iaitu kita bawa pengunjung melawat tapak ini pada waktu malam.

    “Yang kita lakukan ialah pengunjung dibawa dalam satu kumpulan lapan hingga 16 orang, masuk ke rumah agam ini dan diberikan sedikit penerangan. Kemudian kita akan tinggalkan dua orang di setiap lokasi tanpa lampu suluh, seperti di ruangan simpanan arak, bilik dobi, bilik tidur dan lain-lain selama 10 hingga 15 minit,” ujarnya.

    Tambah beliau, ada peserta mendakwa mereka ‘dikacau’ dengan sentuhan, pelukan, bisikan di telinga dan tamparan angin.

    Bagaimanapun tegas Zamari, pihaknya bukan ‘menjual’ hantu, sebaliknya menawarkan pengalaman ‘unik’ melawat tapak yang dikaitkan dengan kegiatan paranormal.

    DIKENALI DI PERINGKAT GLOBAL

    Kisah misteri dan seram yang menyelubungi Kellie’s Castle turut menarik perhatian pelancong antarabangsa.

    Menurut Zamari, Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) memberikan respons memberangsangkan apabila pihaknya membuat pembentangan tentang Kellie’s Castle.

    “PATA telah menjemput pihak kami untuk berkongsi pengalaman dark tourism menerusi Tourism Malaysia yang diadakan secara dalam talian (pada 2020), dan pembentangan itu dibuat kepada kira-kira 400 peserta PATA yang beribu pejabat di Bangkok, Thailand.

    “Kesemua peserta yang hadir sangat teruja dengan kisah dan pengalaman kami menguruskan dark tourism ini dan ramai yang menyuarakan hasrat untuk turut serta dalam eksplorasi dark tourism tersebut,” katanya.

    Sementara itu, Pengurus Kellie’s Castle, Hakim Muhaimin berkata tapak tersebut dikategorikan sebagai antara lima lokasi paling seram di Malay-sia oleh pengkaji paranormal selain turut tersenarai dalam portal pelancongan ekspedisi berpangkalan di Amerika Syarikat.

    Malah katanya, konsep dark tourism di Kellie’s Castle mendapat permintaan tinggi, terutama cadangan pihak pengurusan untuk mengadakan aktiviti Sleep in the Castle dengan pertanyaan diterima daripada pelancong luar seperti Singapura.

    “Sebelum pandemik COVID-19, kami mengadakan lawatan malam pada hari Jumaat dan Sabtu minggu kedua setiap Oktober. Aktiviti ini bermula dari 8 hingga 11:30 malam. Namun acara ini dihentikan semasa pandemik.

    “Jadi, kami merancang untuk mengembalikan kegiatan ini pada Oktober depan. Kita merancang untuk adakan dua aktiviti iaitu lawatan malam dan tidur di istana,” katanya.

    Jelas beliau, dalam aktiviti lawatan, pengunjung hanya dibawa melawat dalam bangunan itu sepertimana lawatan di waktu siang, manakala aktiviti bermalam pula membabitkan peserta tidur di dalam rumah agam tersebut. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda