Saturday, November 9, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kesihatan mental tanggungjawab bersama

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Mental yang sihat amat diperlukan untuk seseorang mengurus emosi dan menikmati kehidupan.

    Sebaliknya seseorang yang mempunyai kecelaruan mental tidak akan dapat berbuat demikian, bahkan akan gagal untuk menangani sebarang cabaran.

    Orang-orang yang mengalami kecelaruan mental biasanya menghadapi gangguan emosi dan pemikiran, sekali gus boleh mengganggu hubungan sosial mereka dengan orang lain.

    Di Brunei sahaja, seramai 13,246 orang dicatatkan telah menerima rawatan, berbanding 11,231 orang pada tahun lepas dan perkara ini sangat membimbangkan kerana ia bukan sahaja berlaku dalam kalangan orang awam, bahkan juga dalam kalangan penjawat awam dan pelajar sekolah. Oleh itu, ia mesti ditangani oleh pihak-pihak berkepentingan di negara ini.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara tersebut semasa berkenan mengurniakan titah sempena Majlis Ilmu 2024 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

    Terdahulu, Baginda merakamkan kesyukuran dengan inayah Allah SWT, Majlis Ilmu dapat dilaksanakan setiap tahun dan telah banyak mengongsikan pelbagai ilmu dan maklumat yang sangat berfaedah.

    Menyentuh tema pada tahun ini, Menangani Gejala Mental, Baginda turut bertitah tema berkenaan sangat signifikan kerana penyakit mental, sama ada di peringkat nasional mahupun global semakin meningkat.

    Menurut ajaran agama Islam, kesihatan fizikal dan mental adalah anugerah dan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT, yang wajib dijaga sebagai salah satu maqasid syariah.

    “Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, ikhtiar menangani gejala mental telah dan sedang dilaksanakan. Antaranya kerajaan Beta telah meningkatkan jumlah pegawai psikologi dan menambahkan masa perkhidmatan Talian Harapan 145 iaitu talian bantuan dan sokongan kesihatan mental kepada 24 jam setiap hari,” titah Baginda.

    Adalah menjadi harapan Beta, usaha-usaha bersepadu daripada pihak kesihatan dan pihak ugama akan diteruskan untuk sama-sama menangani isu-isu kesihatan mental,” tekan Baginda lagi.

    Dalam hal ini, Baginda bertitah merakamkan kegembiraan mengetahui usaha-usaha bersepadu daripada pihak-pihak kesihatan, agama dan perkhidmatan awam dengan sokongan badan-badan bukan kerajaan (NGO) telah menjalankan beberapa program, antaranya jerayawara kesihatan mental di tempat kerja, kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan yang memfokus kepada pendidikan kesihatan mental dari perspektif Islam dan sains.

    “Beta juga difahamkan pada masa ini salah satu tindakan utama di dalam Pelan Tindakan Kesihatan Mental Negara Brunei Darussalam 2022-2025, iaitu Program Latihan Asas Kesihatan Mental untuk Pemimpin Masyarakat, khusus kepada para imam, ustaz dan daie, yang menggabungkan ilmu rawatan saintifik dan kerohanian, telah dijalankan dengan kerjasama di antara pihak kesihatan dan pihak agama,” titah Baginda.

    Berhubung perkara ini, Baginda menegaskan ia masih perlu dipantau dan difikirkan keberkesanannya, atau jika ada cara lain yang lebih berkenaan.

    “Pada kesempatan ini, Beta berseru kepada ahli keluarga dan anggota masyarakat supaya turut sama-sama bertanggungjawab dan berperanan dalam membantu dan menyokong pesakit dalam proses pemulihan atau penyembuhan,” titah Baginda.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah sempena Majlis Ilmu 2024. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda