Monday, September 16, 2024
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea Selatan, New Zealand setuju perkukuh kerjasama

    SEOUL, 4 SEPT – Korea Selatan dan New Zealand telah bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, perdagangan, sains dan pendidikan, lapor Xinhua.

    Persetujuan itu dicapai semasa pertemuan antara pemimpin kedua-dua negara hari ini, menurut Pejabat Presiden Korea Selatan.

    Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon, yang tiba untuk lawatan rasmi selama dua hari, yang pertama sejak beliau memegang jawatan pada November 2023.

    Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pihak bersetuju untuk mempromosikan perdagangan dan pelaburan dua hala di bawah perjanjian perdagangan bebas (FTA) dua hala yang telah berkuat kuasa pada 2015, serta merancang untuk melancarkan dialog keselamatan ekonomi dua hala secara berkala.

    Mereka memberi tumpuan kepada peluang kerjasama dua hala dalam bidang sains dan teknologi canggih susulan lima sesi jawatankuasa bersama mengenai sains dan teknologi, serta bersetuju untuk memajukan industri angkasa yang diterajui oleh sektor swasta.

    Kedua-dua negara turut bersetuju untuk mengadakan perbincangan bagi memperkukuh kerjasama antara agensi pengurusan bencana kebangsaan, serta meneruskan program pelajar dengan memperluas penerima biasiswa. – Bernama

    Yoon Suk-yeol (kanan), berjabat tangan dengan Christopher Luxon semasa mesyuarat di Pejabat Presiden di Seoul, Korea Selatan pada 4 September. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda