Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki dapat AS$7 juta untuk salah hukuman 48 tahun penjara

    WASHINGTON, 15 OGOS – Seorang lelaki berusia 71 tahun yang menghabiskan hampir lima dekad dalam penjara kerana pembunuhan yang tidak dilakukannya akan menerima AS$7.15 juta daripada bandar AS yang mensabitkannya.

    Lelaki berkulit hitam, Glynn Simmons menjalani lebih banyak masa di penjara sebelum dibebaskan daripada banduan lain dalam sejarah AS menurut The National Registry of Exonerations.

    Simmons dibebaskan tahun lalu selepas menjalani hukuman penjara selama 48 tahun, sebulan dan 18 hari.

    Isnin lalu, ahli majlis di Edmond, Oklahoma mengundi untuk Simmons bagi menyelesaikan tuntutan terhadap bandar itu dan juga salah seorang detektif yang membantu penangkapannya, menurut rekod awam.

    Peguam bagi Simmons berkata pembayaran itu mewakili ‘sebahagian penyelesaian’ tuntutan mahkamahnya ‘terhadap bandar dan polis yang memalsukan bukti untuk memerangkapnya atas tuduhan membunuh.”

    “Encik Simmons menghabiskan masa yang tragis dipenjarakan kerana jenayah yang tidak dilakukannya,” kata peguam utama, Elizabeth Wang.

    “Walaupun dia tidak akan dapat kembalikan masa itu, penyelesaian dengan Edmond ini akan membolehkan dia bergerak ke hadapan sambil juga meneruskan tuntutannya terhadap” Oklahoma City dan seorang detektif yang bertanggungjawab.

    Jurucakap Edmond enggan mengulas apabila didekati AFP.

    Simmons dan seorang lagi lelaki, Don Roberts, telah dijatuhi hukuman mati pada tahun 1975 kerana dituduh membunuh seorang kerani kedai berusia 30 tahun semasa rompakan di Edmond. Hukuman mereka kemudiannya ditukar kepada penjara seumur hidup.

    Simmons dan Roberts disabitkan kesalahan semata-mata berdasarkan keterangan seorang pelanggan remaja yang ditembak di kepala semasa rompakan, tetapi terselamat.

    Dia memilih mereka daripada barisan polis tetapi siasatan seterusnya menimbulkan keraguan yang ketara terhadap kebolehpercayaan pengenalpastian itu.

    Kedua-dua lelaki telah berkata dalam perbicaraan bahawa mereka tidak berada di Oklahoma pada masa pembunuhan itu berlaku.

    Hakim Mahkamah Daerah AS Amy Palumbo menolak sabitan kesalahan Simmons pada Julai tahun lalu. Dia secara rasmi diisytiharkan tidak bersalah pada bulan Disember.

    Roberts, yang turut ditahan bersama Simmons, dibebaskan dari penjara pada 2008 menurut The National Registry of Exonerations sebuah projek yang dikendalikan oleh tiga universiti AS. – AFP

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda