Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat teroka peluang kolaborasi pelancongan, pengangkutan

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Peluang-peluang bagi kolaborasi bersama rakan-rakan pembangunan telah diterokai semasa Mesyuarat Kluster Pelancongan Kawasan Pertumbuhan Asia Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) ke-20 yang berlangsung di ibu negara, kelmarin hingga hari ini.

    Mesyuarat itu telah dipengerusikan oleh Pengarah bagi Hubungan Antara-Institusi, Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Indonesia, Yulia, dan dihadiri oleh ketua-ketua delegasi dari Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Pengerusi Majlis Perniagaan BIMP-EAGA dan Sekretariat Kebangsaan BIMP-EAGA.

    Mesyuarat itu juga dihadiri oleh Republik Filipina dan Bank Pembangunan Asia (ADB) secara maya.

    Mesyuarat telah membincangkan hasil daripada Mesyuarat Perancangan Strategik BIMP-EAGA yang diadakan di Kuching, Malaysia, Mac lalu dan penyampaian bagi 2024 di bawah Kluster Pelancongan.

    Mesyuarat itu mengetengahkan perkembangan Projek Rolling Pipelines 2023-2025 dan perkembangan pelaksanaannya dalam bidang kesalinghubungan, pembangunan produk ekopelancongan, pembangunan sumber manusia dan pendekatan yang diselaraskan dalam pengurusan warisan, budaya dan alam semula jadi termasuk pembangunan Rangkaian Kampung Pelancongan BIMP-EAGA untuk menggalakkan lebih banyak lawatan ke kampung-kampung pelancongan bagi menyumbang kepada pertumbuhan sosio-ekonomi masyarakat.

    Delegasi Negara Brunei Darussalam semasa menghadiri mesyuarat tersebut. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Selain itu, mesyuarat berkenaan juga meneroka peluang-peluang bagi kolaborasi dengan rakan-rakan kongsi pembangunan, menekankan pentingnya bagi projek bersama untuk menyokong visi BIMP-EAGA 2025.

    Manakala inisiatif-inisiatif penumpuan di bawah Kluster Pelancongan yang bermatlamat untuk memupuk kolaborasi antara sektor pengangkutan dan pelancongan turut dibincangkan secara ringkas.

    Mengenali akan hubungan penting antara sistem pengangkutan efisien dan kejayaan pembangunan pelancongan, keperluan telah dikenal pasti untuk membangunkan projek-projek boleh dilaksanakan dan berimpak.

    Projek-projek berkenaan temasuk meningkatkan laluan pengangkutan darat dan udara ke destinasi-destinasi pelancongan utama serta meningkatkan pengalaman pelawat menerusi perkhidmatan pengangkutan berintegrasi.

    Sementara itu, ADB telah membentangkan mengenai Strategi Ekonomi Biru Bersama BIMP-EAGA dan IMT-GT 2030 menumpukan pada Pelancongan Mampan dan Strategi Ekonomi Biru IMT-GT dengan matlamat meningkatkan pelaburan serta menyediakan sokongan teknikal bagi meningkatkan sekuriti makanan, mengukuhkan kedayatahanan, melindungi warisan kebudayaan dan merangsang perubahan ekonomi di seluruh rantau Asia dan Pasifik.

    Mesyuarat Kluster Pelancongan BIMP-EAGA ke-21 dijadualkan untuk diadakan di Indonesia.

    Delegasi juga berpeluang untuk menyertai lawatan teknikal ke Lamin Warisan yang terletak di Daerah Tutong. Rumah kampung tradisional berkenaan mengetengahkan artifak dan dokumen daripada masyarakat di Tutong, menawarkan pengalaman yang mengasyikkan ke dalam warisan Brunei.

    Lamin Waris telah dikategorikan sebagai tapak pelancongan warisan dan kebudayaan yang meliputi aktiviti-aktiviti seperti permainan tradisional, memasak dan lawatan rumah.

    Ia juga telah menerima anugerah dalam Kategori Perusahaan Sosial bagi Anugerah Pembangunan Sektor Visi BIMP-EAGA 2025 di Konvensyen Perdagangan BIMP-EAGA 2023 oleh Majlis Perniagaan BIMP-EAGA, di mana Lamin Warisan menonjol bagi sumbangan signifkannya kepada pemuliharaan kebudayaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda