DHAKA, 8 OGOS – Pemenang Hadiah Keamanan Nobel, Muhammad Yunus melaungkan “kemerdekaan kedua” Bangladesh apabila dia pulang hari ini untuk memimpin negaranya kembali kepada demokrasi selepas pemberontakan yang dipimpin oleh pelajar menamatkan pemerintahan 15 tahun Sheikh Hasina.
Yunus akan mengetuai kerajaan sementara yang sedang ditubuhkan oleh tentera, yang berpaling terhadap Hasina pada hujung minggu selepas ratusan orang terbunuh dalam pergolakan.
“Hari ini adalah hari yang gemilang bagi kita,” Yunus, 84, memberitahu pemberita di lapangan terbang di Dhaka sejurus pulang dari Eropah.
“Bangladesh telah mencipta hari kemenangan baharu. Bangladesh telah mendapat kemerdekaan kedua.”
Yunus menggesa pemulihan keadaan selepas berminggu-minggu keganasan yang menyebabkan sekurang-kurangnya 455 orang terkorban, menyeru rakyat untuk menjaga satu sama lain, termasuk minoriti yang diserang.
“Undang-undang dan ketenteraman adalah tugas pertama kita … Kita tidak boleh mengorak langkah ke hadapan melainkan kita membetulkan keadaan undang-undang dan ketenteraman,” katanya.
“Seruan saya kepada rakyat adalah jika awda mempunyai kepercayaan kepada saya, maka pastikan tidak akan ada serangan terhadap sesiapa, di mana-mana sahaja di negara ini.”
Yunus boleh mengangkat sumpah sebagai pemimpin baharu negara sejurus petang hari ini.
“Setiap orang adalah saudara kita… tugas kita adalah untuk melindungi mereka,” katanya sambil menambah bahawa “seluruh Bangladesh adalah satu keluarga besar”. – AFP