Thursday, September 19, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    NADI mampu tingkat pendapatan penduduk Mesapol

    SIPITANG, 15 SEPT – Penubuhan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Mesapol mampu meningkatkan taraf hidup penduduk melalui penganjuran pelbagai aktiviti di pusat berkenaan.

    NADI Mesapol yang ditubuhkan pada Ogos tahun lepas kini memiliki 475 ahli berdaftar dengan 30 usahawan berjaya dibantu.

    Usahawan, Siti Zuriadah Mohd Shahrey, 42, dari Kampung Sikim Sindumin berkata selepas menyertai NADI pendapatannya sekeluarga meningkat antara RM1,000 hingga RM3,000 sebulan.

    Sejak menyertainya dua tahun lepas beliau sudah celik mengenai teknologi maklumat selain mempelajari proses pembuatan produk hasil keluarannya.

    “Antara produk yang saya hasilkan ialah satay ikan, keropok ubi kayu, keropok pucuk ubi, dan kek lapis serta kuih kelupis sejuk beku,” katanya kepada Bernama, hari ini.

    Fahmi Fadzil melihat produk yang turut dijual dalam talian sewaktu mengadakan lawatan ke NADI di Pekan Mesapol pada 15 September. – Bernama

    Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat NADI Mesapol selain bertemu petugas dan usahawan di pusat berkenaan.

    Afnizah Bungsu, 37, ibu kepada dua cahaya mata turut mengakui NADI telah membantunya mengembangkan lagi perniagaan gubahan kraf tangan yang diusahakan sejak 15 tahun lepas.

    Usahawan dari Kampung Kuala Mengalong itu berkata melalui NADI yang disertai secara suka-suka akhirnya memberikannya kemahiran untuk mengubah bunga, membuat hamper dan hantaran nikah serta perkahwinan.

    “Mulanya saya ikut NADI untuk santai-santai tetapi lama-kelamaan banyak saya dapat belajar mengenai digital dan menaik taraf perniagaan kraf tangan saya,” katanya.

    Anirah Tedan, 35, berkata selepas menyertai NADI, permintaan terhadap sambal ikan masin, kerepek pisang masin dan kudapan yang dihasilkannya bertambah sekali gus meningkatkan pendapatannya hingga mencecah RM3,000 sebulan.

    Produk lain yang dihasilkan ialah sambal udang kering dan ikan bilis serta kerepek popia keju dan coklat. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda