Sunday, September 15, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    OP Tiris tahan 496 individu, rampas RM80.11 juta

    KUDAT, 1 SEPT – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menahan 496 individu dan merampas barang kawalan dan bersubsidi bernilai RM80.11 juta dalam Op Tiris 3.0 yang dijalankan antara 1 Januari hingga 28 Ogos lepas.
     
    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata dalam tempoh sama, sejumlah 29,487 pemeriksaan diadakan di seluruh negara dan sebanyak 2,005 kes direkodkan.
     
    Beliau berkata pelaksanaan Op Tiris 3.0 penting dalam usaha mengekang kegiatan penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi meliputi bahan api diesel, petrol RON95, minyak masak bungkusan polibeg 1 kilogram (kg), gas petroleum cecair (LPG), tepung gandum dan gula putih bertapis 1kg.
     
    “Kementerian akan terus meningkatkan ketangkasan penguatkuasaan termasuk memperkasa kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih dan Advokasi Kepenggunaan hari ini, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor, Ben Chong.
     
    Armizan berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berjaya mematahkan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi dalam serbuan tiga premis berasingan di Nilai, Negeri Sembilan pada 23 Ogos lepas. 
     
    Beliau berkata dalam serbuan terbabit, sebanyak 180,200kg minyak masak bersubsidi pelbagai jenama telah disita, selain kenderaan dan beberapa dokumen seperti invois jualan dan belian. 
     
    “Nilai keseluruhan rampasan dalam operasi itu dianggarkan berjumlah hampir RM500,000,” katanya sambil menambah seorang lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing ditahan untuk membantu siasatan.
     
    Armizan berkata hasil siasatan awal mendapati aktiviti yang disyaki telah didalangi oleh syarikat pemborong minyak masak yang berlesen ini bertujuan menyeleweng dan memindahkan minyak masak bersubsidi bungkusan polibeg 1kg bagi jualan pada harga lebih tinggi daripada harga kawalan selain diseludup ke negara jiran. – Bernama
     
    Datuk Armizan Mohd Ali ketika ditemui media selepas perasmian 5Petrol KLIA Pit Stop di Sepang pada 6 Ogos. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda