WASHINGTON, 13 SEPT – Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) kelmarin mengumumkan sekatan terhadap 16 pegawai Venezuela yang ‘bersekutu dengan’ Presiden Nicolas Maduro berhubung dakwaan penipuan dalam pilihan raya presiden Julai yang menjadi pertikaian, lapor Agensi Berita Jerman, dpa.
Pentadbiran di Washington menuduh individu-individu terbabit menghalang proses pilihan raya presiden yang kompetitif dan inklusif di Venezuela serta melanggar hak sivil dan hak asasi manusia.
Sekatan itu membabitkan wakil-wakil utama Majlis Pilihan Raya Kebangsaan, Mahkamah Agung dan Dewan Negara.
“Hari ini, AS mengambil tindakan tegas terhadap Maduro dan wakilnya atas penindasan terhadap rakyat Venezuela serta penafian hak rakyat mereka untuk pilihan raya yang bebas dan adil.
“Jabatan Perbendaharaan menyasarkan pegawai-pegawai utama yang terlibat dalam dakwaan penipuan kemenangan Maduro, serta tindakan kerasnya terhadap kebebasan bersuara selepas pilihan raya, ketika majoriti rakyat Venezuela menuntut perubahan,” kata Timbalan Setiausaha Perbendaharaan Wally Adeyemo.
Maduro memerintah negara itu sejak 2013, memperoleh penggal ketiga dalam pilihan raya pada 28 Julai selepas suruhanjaya pilihan raya negara mengisytiharkan kemenangannya.
Kerajaan tidak menyediakan sebarang kiraan undi yang kukuh bagi menyokong kemenangan Maduro.
Pihak pembangkang mendakwa kemenangan berpihak kepada calon mereka, bekas diplomat Edmundo González yang kini berada di Sepanyol selepas pihak berkuasa Venezuela mengeluarkan waran tangkap terhadapnya. – Bernama