Thursday, September 19, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemilihan PM baharu Jepun pada 1 Oktober

    TOKYO, 18 SEPT – Perdana menteri baharu Jepun akan dipilih secara rasmi oleh parlimen pada 1 Oktober berikutan pertandingan kepimpinan minggu depan, kata seorang pegawai parti pemerintah hari ini.

    Tinjauan menunjukkan bahawa tiga calon yang disebut-sebut akan menang muncul antara sembilan calon bagi menggantikan Fumio Kishida sebagai ketua Parti Demokratik Liberal (LDP) dalam undian dalaman pada 27 September.

    Mereka ialah Menteri Keselamatan Ekonomi konservatif, Sanae Takaichi, 63; bekas Setiausaha Agung LDP, Shigeru Ishiba, 67; dan Shinjiro Koizumi, 43, anak kepada bekas Perdana Menteri Junichiro Koizumi.

    LDP yang konservatif – yang telah mentadbir hampir tanpa gangguan selama puluhan tahun – menguasai majoriti kerusi di parlimen, bermakna pemenang pemilihan parti pada dasarnya dijamin menjadi perdana menteri.

    Yasukazu Hamada, Ahli Parlimen LDP yang bertanggungjawab dalam hal ehwal parlimen, memberitahu rakan sejawatan pembangkangnya bahawa parti itu ‘bercadang untuk mengadakan sidang parlimen pada 1 Oktober’ bagi memilih perdana menteri baharu, kata seorang pegawai LDP kepada AFP.

    Parti pembangkang menerima tarikh itu, yang akan diumumkan secara rasmi oleh kerajaan Isnin depan, menurut laporan media. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda