Tuesday, September 10, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perancis mara ke final bola sepak Olimpik

    LYON, 6 OGOS – Jean-Philippe Mateta menjaringkan dua gol ketika pasukan tuan rumah Perancis bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Mesir 3-1 selepas masa tambahan kelmarin untuk menempah tempat di peringkat akhir bola sepak lelaki Olimpik dengan Sepanyol, yang mengetepikan Maghribi 2-1.

    Perancis kendalian Thierry Henry kelihatan seperti akan mengalami kekalahan pada separuh akhir mereka di Lyon selepas Mahmoud Saber meletakkan Mesir di hadapan selepas sejam perlawanan berlangsung.

    Tetapi penyerang Crystal Palace, Mateta menyamakan kedudukan lewat untuk mengheret permainan ke masa tambahan, di mana dia menanduk gol untuk meletakkan Perancis di depan selepas pemain Mesir, Omar Fayed dilayangkan kad merah.

    Michael Olise kemudian memastikan kemenangan pada minit ke-108 dan Perancis, mencari pingat emas bola sepak lelaki Olimpik kedua mereka dan yang pertama sejak 1984, kini akan menentang Sepanyol di Parc des Princes di Paris pada Jumaat.

    “Apabila awda melihat Perancis memungut pingat di merata tempat, awda berkata kepada diri sendiri bahawa kini giliran kami untuk tidak mengecewakan semua orang,” kata jurulatih Perancis, Henry.

    “Kami tidak mahu menjadi pasukan yang tidak memenangi pingat jadi sekurang-kurangnya ia sudah mencapainya. Sekarang kita akan lihat pingat apa yang kita dapat, tetapi secara jujurnya saya sedang memenuhi impian di sini dan saya tidak mahu bangun.”

    Percubaan Loic Bade terkena tiang gawang pada lewat separuh masa pertama dan dikejutkan oleh serangan balas apabila Saber menjaringkan gol untuk mendahului Mesir pada minit ke-62, menentang aliran permainan. – AFP

    Reaksi Jean-Philippe Mateta (kiri) selepas menjaringkan gol pertama pasukannya semasa perlawanan bola sepak separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024 di Stadium Lyon di Lyon pada 5 Ogos. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda