Tuesday, September 17, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis Australia buru suspek tuang kopi panas ke atas anak damit

    SYDNEY, 10 SEPT – Polis Australia kelmarin berkata mereka telah melancarkan pencarian antarabangsa untuk seorang lelaki yang dituduh menuang kopi panas ke atas anak damit berusia sembilan bulan, menyebabkan luka melecur yang serius.

    Paul Dalton dari Polis Queensland berkata seorang suspek berusia 33 tahun itu melarikan diri dari negara itu beberapa hari selepas melakukan jenayah ‘paling pengecut’ yang pernah dilihat oleh detektif tersebut dalam kerjayanya selama puluhan tahun.

    Anak damit itu sedang berkelah bersama keluarganya di sebuah taman di Brisbane pada akhir Ogos lalu apabila lelaki tersebut, yang dipercayai seorang pekerja sementara, menuang kopi panas ke muka dan anggota badannya.

    Anak damit itu ‘mengalami luka melecur yang serius’ dan memerlukan beberapa pembedahan.

    Polis tidak tahu motif lelaki itu. Dia tidak dikenali oleh keluarga tersebut dan kini dipercayai berada di sebuah negara yang tidak dinamakan. Dia dituduh berniat menyebabkan kecederaan parah – satu pertuduhan yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup.

    Dalton berkata polis ‘bersemangat dan tekad’ tidak akan berhenti sehingga lelaki itu ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda