Friday, November 15, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Popular jadi ukuran – Aina Abdul

    Sekali lagi dicalonkan dalam kategori Penyanyi Wanita Popular dan Lagu Paling Boom Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-36 menjadi bukti Aina Abdul kian mekar dalam persada seni, lapor BH Online.

    Satu demi satu kejayaan dilakar penyanyi berusia 30 tahun itu sejak dinobatkan naib juara Mentor Legend terbitan TV3 pada 2014 sehingga namanya dikenali seluruh negara dengan kemampuan vokal dimiliki.

    Menyorot kemunculan pertama Aina di pentas ABPBH 32 pada 2019 menerusi kategori Artis Baharu Wanita Popular. Ketika itu, Aina berjaya mara ke kelompok Top 5, namun, tuah tidak menyebelahinya apabila trofi menjadi milik Haneesya Hanee.

    Aina kemudian dicalonkan dalam kategori Penyanyi Wanita Popular, ABPBH 33, namun, rezeki menggenggam trofi masih belum tiba.

    Bagaimanapun, usaha penyanyi kelahiran Johor Bahru, Johor itu untuk terus berkarya sedikit pun tidak pudar apabila tampil dengan single duet bersama Khai Bahar berjudul Nafas Cinta, sekali gus memenangi kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, ABPBH 34.

    Kejayaan itu dilihat menjadi pencetus kepada lebih banyak kecemerlangan buat Aina apabila mengungguli kategori Penyanyi Wanita Popular dan Lagu Paling Boom pada ABPBH 35, tahun lalu, lantas membuktikan dirinya menjadi antara penyanyi kian diminati ramai.

    Mengulas pencalonannya pada edisi kali ini, juara Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-37 itu mengharapkan dapat sekali lagi mengulangi kejayaan sama untuk diabadikan dalam catatan sejarah sebagai anak seni.

    “Alhamdulillah, saya sangat berterima kasih kepada Berita Harian kerana saya kira di setiap penampilan saya pasti akan disertakan dengan penghargaan seperti ABPBH ini,” katanya. – Agensi

    Aina mengungguli kategori Penyanyi Wanita Popular dan Lagu Paling Boom pada ABPBH 35, tahun lalu. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda