MEXICO CITY, 8 JAN – Mexico tidak menemui bukti menunjukkan fentanyl dihasilkan di negara itu, kata presidennya kelmarin, susulan ancaman daripada Presiden Amerika Syarikat (AS) yang bakal dilantik, Donald Trump, untuk mengenakan tarif ke atas penyeludupan dadah.
“Setakat ini, kami belum menemui bukti prekursor berkenaan tiba kerana kebanyakan prekursor datang dari Asia dan keseluruhan proses itu dijalankan di sini, di Mexico,” kata Claudia Sheinbaum dalam satu sidang akhbar.
“Makmal yang telah dimusnahkan di negara kami kebanyakannya adalah untuk methamphetamine atau crystal meth,” tambahnya.
Pada masa yang sama, Sheinbaum menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya komited untuk memerangi pengedaran dadah haram.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pihak berkuasa Mexico telah mengumumkan beberapa rampasan besar fentanyl serta prekursor kimia.
Dadah tersebut, opioid sintetik yang 50 kali lebih kuat daripada heroin, dikaitkan dengan puluhan ribu kematian akibat dos berlebihan di AS.
Trump, yang akan memulakan penggal keduanya pada 20 Januari, telah mengugut untuk mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas eksport Mexico sekiranya negara itu gagal mengawal aliran dadah dan migran.
Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah AS (DEA) menyatakan bahawa kartel Mexico merupakan punca krisis narkotik sintetik di AS.
Kartel Sinaloa yang berkuasa “menguasai pasaran fentanyl melalui manipulasi rantai-an bekalan global dan penyebaran makmal fentanyl haram di Mexico,” menurut Penilaian Ancaman Dadah Nasional 2024 yang dikeluarkan oleh DEA.
Kartel itu telah “menghasilkan fentanyl dalam jumlah besar sejak sekurang-kurangnya tahun 2012,” tambah laporan tersebut. – AFP