Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat ketepatan, kecekapan data melalui pendigitalan

    BELAIT, 20 MEI – Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) Sdn Bhd baru-baru ini telah mengadakan Majlis Pelancaran Sistem Pelaporan Nilai dalam Negara (ICVRS) di Kelab Rekreasi Brunei Shell (BSRC).

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengarah Kewangan BSP, Haji Mohammad Zulazrin bin Haji Awang Mohidin.

    Dalam ucapan alu-aluan, Ketua Pengurusan Rantaian Bekalan BSP, Dayang Noreliza binti Omar menekankan usaha BSP untuk penyelesaian yang cekap dan tepat.

    “Ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk terus menyediakan sistem dan penyelesaian yang menuju ke arah pertumbuhan kolektif dan kejayaan dalam industri dan negara kita,” katanya.

    ICVRS ialah platform repositori berpusat yang membolehkan rakan kongsi perniagaan dalam Syarikat Brunei Shell Joint Venture (BSJV) menguruskan dan menyerahkan data suku tahunan Pembangunan Perniagaan Tempatan (LBD) mereka seperti Pekerjaan Tempatan, Kandungan Tempatan dan Pengambilan Pekerja Tempatan.

    Antara yang hadir semasa majlis pelancaran ICVRS di BSRC baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN BSP

    Ia bertujuan untuk mengatasi beberapa cabaran dalam pelaporan seperti kelewatan atau kesilapan kecil dalam pengumpulan data, sumber maklumat yang bertaburan serta bagi memudahkan kaedah pelaporan melalui automasi pengurusan data yang sebelum ini diproses secara manual.

    Rakan kongsi perniagaan akan mendapat manfaat daripada melaksanakan kemas kini dalam masa nyata dengan proses pelaporan yang lebih kemas dan pantas.

    Pelancaran ICVRS adalah bukti usaha BSP untuk menyokong pembangunan perniagaan tempatan dan masyarakat Brunei, sambil menggunakan pendigitalan sebagai cara untuk meningkatkan kecekapan dan kemudahan pelaporan kawal selia.

    Platform ini mempamerkan penjajaran BSP kepada Revolusi Perindustrian Keempat sambil menyahut seruan agenda transformasi digital negara.

    Turut hadir dalam acara pelancaran itu adalah wakil kerajaan daripada Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri; wakil dan kakitangan dari BSP, Brunei LNG dan Syarikat Pemasaran Brunei Shell (BSM) Sdn Bhd; serta rakan kongsi perniagaan kumpulan BSJV.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda