Oleh Salawati Haji Yahya
TUTONG, 24 FEB – Sebanyak 21 buah keluarga mualaf yang kurang berkemampuan di Kampung Benutan, Tutong, baru-baru ini, menerima sumbangan keperluan asasi berupa makanan menerusi Amal Patriotik Kumpulan Pemilik Jeep Brunei (JOGB).
Aktiviti amal itu dimulakan oleh JOGB dengan sokongan penuh daripada GHK Motors bagi menandakan aktiviti amal konvoi kumpulan itu sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-38. Rombongan konvoi diketuai oleh Calvin Lai.
Sebagai pengedar tunggal kenderaan Jeep tempatan yang sah, GHK Motors telah menyumbangkan $1,000 untuk membeli barangan tersebut selain dana yang disumbangkan oleh rakan pemilik Jeep.
Pengagihan telah diadakan di Masjid Kampung Benutan dan acara dilaksanakan dengan mematuhi sepenuhnya SOP COVID-19 dan ahli JOGB yang terlibat dalam konvoi tersebut juga menjalani ujian ART.