BINTULU, 12 SEPT – Seramai 350 penghuni rumah panjang di Sungai Labang, Sebauh, tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran petang ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 3:32 petang.
“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dan Samalaju digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, pihaknya mendapati Rumah Nura sepanjang 23 pintu jenis kayu itu terbakar 100 peratus.
Kesemua penghuni selamat dan tiada kecederaan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut jurucakap, kebakaran berjaya dikawal pada 5 petang dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. – Bernama