Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 4 SEPT – Seramai 492 pelajar dan guru cemerlang dari Mukim Lumut Liang dan Daerah Belait telah menerima anugerah sebagai sebahagian daripada Anugerah Cemerlang Akademik tahunan Brunei LNG Sdn Bhd (Brunei LNG) bagi tahun 2021 hingga 2024 yang diadakan bagi memperingati pencapaian akademik mereka dalam peperiksaan.
Majlis yang berlangsung di Pusat Insani, Seria hari ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pelaburan sosial syarikat di bawah tema Pendidikan dan Pemerkasaan Belia dan sejajar dengan Wawasan Brunei 2035 dalam memupuk kecemerlangan pendidikan dan mengiktiraf pencapaian cemerlang.
Majlis itu dibahagikan kepada dua sesi, di mana pada sesi pagi itu menyaksikan seramai 348 penerima yang terdiri daripada pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam Penilaian Sekolah Rendah (PSR), Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU), GCE O Level dan A Level telah menerima anugerah yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin yang dijemput sebagai tetamu kehormat majlis.
Dalam ucapan pembukaan yang disampaikan sebagai sebahagian daripada pasukan kepimpinan Brunei LNG, Pengurus Kewangan, Hajah Melissa binti Haji Zainal Abidin menekankan bahawa kerjasama erat antara ibu bapa dan pendidik merupakan sumbangan besar kepada kejayaan pelajar, sambil meraikan dedikasi mereka ke arah membentuk generasi masa depan.
Manakala pada sesi petang pula menyaksikan pelajar cemerlang Tahun 1 hingga 5 serta guru cemerlang dan sekolah di daerah itu menerima anugerah masing-masing daripada Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Misle bin Haji Abdul Karim, sebagai tetamu kehormat.
Sebagai penyumbang utama kepada Negara Brunei Darussalam, Brunei LNG terus komited untuk membina tenaga kerja yang berpendidikan tinggi dan berkemahiran yang penting bagi pembangunan jangka panjang negara. Dengan Anugerah Kecemerlangan Akademik tahunan tersebut, ia berfungsi untuk memberikan motivasi dan inspirasi kepada pelajar di semua peringkat pendidikan dari sekolah rendah hingga pendidikan tinggi.