Sunday, May 5, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Blinken seru AS, China atasi perbezaan sebelum berbincang

    BEIJING, 25 APRIL – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken menggesa AS dan China menguruskan perselisihan mereka ‘dengan penuh tanggungjawab’ ketika beliau mendarat di Beijing untuk rundingan sukar dengan pemimpin kuasa saingan itu hari ini.

    Blinken dijangka menangani pelbagai isu rumit termasuk sokongan China terhadap Rusia dan layanannya terhadap Taiwan, sementara China mungkin akan mengemukakan kebimbangan perdagangan seperti tindakan baharu AS terhadap aplikasi media sosial popular TikTok.

    Blinken terus menghadiri perhimpunan tertutup bersama pemimpin terkemuka China hari ini.

    Rundingan sepanjang hari dengan kepimpinan politik China telah dirancang pada Jumaat, termasuk kemungkinan pertemuan dengan Presiden Xi Jinping.

    Blinken tiba dari Shanghai, di mana beliau dilihat mencuba makanan tempatan, menonton perlawanan bola keranjang dan bersiar-siar di sepanjang persiaran Bund yang terkenal di bandar itu.

    Antony Blinken (kiri) bertemu dengan Chen Jining di Dewan Besar di Shanghai, China kelmarin. – AP

    Semasa mengunjungi pemimpin Parti Komunis tempatan, Blinken berkata Presiden AS, Joe Biden komited untuk ‘mengekalkan’ dialog antara dua ekonomi terbesar dunia itu selepas bertahun-tahun dibelenggu ketegangan.

    “Saya fikir adalah penting untuk menekan-kan nilai dan keperluan untuk penglibatan langsung, bercakap antara satu sama lain, mengemukakan perbezaan kita yang sebenar dan berusaha untuk mengatasinya,” kata Blinken.

    “Kita mempunyai kewajipan untuk rakyat kita, malah kepada dunia, untuk menguruskan hubungan antara kedua-dua negara dengan penuh tanggungjawab,” tambahnya.

    Setiausaha Parti Komunis China untuk Shanghai, Chen Jining, mengalu-alukan Blinken sebahagiannya dalam bahasa Inggeris dan bercakap tentang kepentingan perniagaan AS untuk bandar itu.

    “Sama ada kita memilih kerjasama atau konfrontasi, kedua-duanya akan memberikan kesan kepada kedua-dua rakyat dan negara serta masa depan umat manusia,” kata Chen kepadanya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Remaja ‘radikal’, 16 tahun mati ditembak polis Australia

    SYDNEY, 5 MEI - Polis Australia Barat menembak mati seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang bertindak ganas selepas menikam seorang lelaki dengan pisau...