Sunday, May 19, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Remaja ‘radikal’, 16 tahun mati ditembak polis Australia

    SYDNEY, 5 MEI – Polis Australia Barat menembak mati seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang bertindak ganas selepas menikam seorang lelaki dengan pisau di sebuah tempat letak kereta dekat Perth, semalam.

    Remaja itu meluru ke arah polis yang bertindak balas dengan menembaknya dua kali menggunakan senjata renjat ‘taser’ , sebelum melepaskan satu das tembakan maut.

    Menurut Perdana Menteri Australia, Roger Cook, remaja itu menunjukkan tanda-tanda yang dia dipengaruhi dengan propaganda anasir radikal dalam talian.

    “Bagaimanapun, saya memberi jaminan kepada masyarakat bahawa pada peringkat ini, bukti sedia ada menunjukkan dia nampaknya bertindak bersendirian,” katanya.

    Pesuruhjaya Polis Negeri, Kol Blanch, berkata pihaknya menerima panggilan lewat semalam daripada seorang lelaki yang memberi amaran dia akan melakukan tindakan ganas tanpa menyatakan nama atau lokasinya.

    Dalam beberapa minit, pihaknya menerima satu lagi panggilan kecemasan memaklumkan seorang lelaki dengan pisau berlari mengelilingi tempat letak kereta di Wiletton dekat pinggir selatan Perth.

    Berdasarkan rakaman kamera badan polis, remaja itu ingkar amaran pegawai polis yang mengarahkannya supaya meletakkan pisau.

    Tambahnya, pegawai terlebih dahulu bertindak melepaskan tembakan menggunakan senjata renjat ‘taser’ ke arahnya tetapi tidak mempunyai kesan.

    “Lelaki itu terus menghampiri pegawai ketiga yang bersenjata dan pegawai berkenaan melepaskan satu das tembakan menyebabkan remaja itu cedera.

    “Remaja itu meninggal dunia di hospital pada lewat malam,” katanya yang menambah remaja berkenaan dipercayai menggunakan sebilah pisau dapur berukuran 30 sentimeter (sm) yang diperoleh dari rumahnya sebagai senjata.

    Mengenai mangsa yang ditikam, Blanch berkata ia membabitkan lelaki pertengahan umur yang kini berada dalam keadaan serius tetapi stabil.

    Tambahnya, mangsa mungkin ditikam satu atau dua kali sehingga menusuk paru-paru. – AFP

    Gambar dari video menunjukkan tempat letak kereta di mana insiden berlaku di Perth, Australia, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...