Friday, March 14, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    China lancar kapal angkasa Shenzhou-15

    BEIJING, 30 NOV – China melancarkan kapal angkasa Shenzhou-15 semalam, yang membawa tiga angkasawan ke stesen angkasa lepasnya bagi melengkapkan penghantaran pertama kru China ke orbit.

    Agensi berita Xinhua yang memetik Pentadbiran Angkasa Kendalian Manusia China (CMSA) melaporkan, ketiga-tiga angkasawan berlepas menggunakan roket Long March-2F dari pusat pelancaran Jiuquan di barat laut gurun Gobi pada jam 11:08 malam.

    Kapal angkasa yang membawa angkasawan veteran, Fei Junlong dan dua angkasawan baharu, Deng Qingming dan Zhang Lu, berjaya berlabuh di stesen angkasa China awal pagi ini.

    Junlong, 57, kembali ke angkasa lepas selepas 17 tahun, dan pernah mengendalikan misi Shenzhou-6 pada 2005.

    Pasukannya akan menyertai tiga lagi angkasawan di stesen angkasa Tiangong, yang berada di sana sejak awal Jun lalu.

    Jurucakap CMSA, Ji Qimimg, berkata matlamat utama misi itu adalah melaksanakan penghantaran kru pertama di orbit, memasang kelengkapan dan fasiliti di dalam dan luar stesen angkasa, serta menjalankan eksperimen sains.

    “Dalam tempoh itu, kru Shenzhou-15 akan menyambut ketibaan kapal kargo Tianzhou-6 dan menyerahkan operasi kapal angkasa Shenzhou-16, dan dijadualkan kembali ke pusat pendaratan Dongfeng pada Mei tahun depan,” katanya. – AFP

    Gambar serahan Xinhua menunjukkan kru Shenzhen-15 dan Shenzhen-14 bergambar selepas berkumpul di stesen angkasa Tiangong, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda