Saturday, October 26, 2024
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fenerbahce gagal layak ke Liga Juara-Juara

    PARIS, 14 OGOS – Lille mengesahkan tempat dalam play-off Liga Juara-Juara setelah menewaskan Fenerbahce kendalian Jose Mourinho selepas Jonathan David menjaringkan gol melalui sepakan penalti pada masa tambahan untuk memastikan kemenangan agregat 3-2 di Turkiye kelmarin.

    Fenerbahce tewas 2-1 pada pusingan pertama minggu lalu dan dilihat bakal tersingkir sehingga gol sendiri oleh Bafode Diakite pada saat-saat akhir membawa perlawanan ke masa tambahan.

    Pemain gantian Lille, Aissa Mandi dilayangkan kad merah pada penampilan sulungnya kerana melakukan kekasaran ke atas Irfan Can Kahveci, tetapi pasukan pelawat dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Jayden Oosterwolde dan David tidak melakukan sebarang kesilapan untuk menjaringkan gol.

    Cenk Tosun menanduk bola namun terkena palang ketika kelab Perancis itu bertahan untuk mara ke pusingan kelayakan terakhir, di mana mereka akan bertemu Slavia Prague atau Union Saint-Gilloise.

    Penyingkiran Fenerbahce menandakan permulaan yang mengecewakan bagi Mourinho sebagai pengurus ketika dia berusaha untuk membawa kelab itu merangkul kejuaraan Turkiye pertama sejak 2014.

    Slovan Bratislava, yang memasuki pusingan kelayakan pertama, mengatasi APOEL Nicosia dengan agregat 2-0.

    Mereka akan menentang Midtjylland untuk mendapatkan tempat dalam kejohanan 36 pasukan yang baharu diperkenalkan selepas juara Denmark itu menewaskan Ferencvaros dari Hungary 3-1 secara agregat. – AFP

    Aksi Dusan Tadic (kiri) semasa perlawanan bola sepak pusingan kedua Pusingan Kelayakan Ketiga Liga Juara-Juara UEFA di Stadium Fenerbahce Sukru Saracoglu di Istanbul pada 13 Ogos. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda