PHNOM PENH, 2 OGOS – Satu lagi kes selesema burung H5N1 dalam manusia telah disahkan pada seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dari wilayah Svay Rieng di tenggara Kemboja, meningkatkan jumlah kes kepada lapan sejak awal 2024, kata kenyataan Kementerian Kesihatan lewat kelmarin.
“Hasil makmal Institut Kesihatan Awam Negara menunjukkan pada Selasa bahawa budak lelaki itu positif virus H5N1,” kata kenyataan itu.
Pesakit itu, yang tinggal di perkampungan Chhrong Popeal daerah Romeas Haek, mengalami simptom demam, batuk, sesak nafas dan mengantuk, menurut kenyataan itu, sambil menambah dia kini pulih selepas menerima rawatan rapi daripada sepasukan doktor.
“Menurut pertanyaan, kira-kira 12 hari sebelum budak itu jatuh sakit, banyak ayam dan itik di kampung dan di rumahnya telah mati, dan keluarga pesakit memasaknya untuk dimakan, dan pesakit mempunyai hubungan langsung dengan ayam yang mati,” tambah kenyataan. – Xinhua