Wednesday, January 15, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat kedua Sambutan Ulang Tahun HK ke-41 berlangsung

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JAN – Sebagai kesinambungan daripada mesyuarat pertama, Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-41, Tahun 2025 mengadakan Mesyuarat Kedua bertempat di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pagi tadi.

    Mesyuarat kedua berkenaan membincangkan mengenai persediaan sambutan ulang tahun berkenaan yang antaranya mengenai ketetapan format persembahan padang, tempat, tetamu kehormat majlis bagi majlis-majlis, logo dan tema serta perbarisan dan ikrar termasuklah persediaan raptai-raptai yang akan dilaksanakan.

    Hadir mempengerusikan bersama mesyuarat berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Dayang Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh.

    Mesyuarat dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan yang antara lain mengongsikan mengenai persiapan yang sedang giat dilaksanakan bagi menjayakan Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-41, Tahun 2025 yang akan diadakan pada Ahad, 23 Februari nanti.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan juga menyatakan bahawa dengan bersandarkan penerapan pendekatan senegara  atau Whole of Nation Approach, semua jawatankuasa akan dapat memberikan kerjasama dan sama-sama berganding bahu dalam memastikan acara sambutan ulang tahun berkenaan dapat berjalan dengan lancar, teratur, sempurna dan berhemah dari tahun sebelumnya.

    Turut sama hadir ke mesyuarat berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua selaku Penasihat Bersama, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; dan juga Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    Juga turut hadir ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Pesuruhjaya Polis Diraja selaku Timbalan Pengerusi Bersama; Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha – setiausaha Tetap dan Timbalan- timbalan Setiausaha Tetap serta Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-41, 2025.

    YB Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad mempengerusikan mesyuarat berkenaan.
    Suasana ketika Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-41 berlangsung.
    Atas & Bawah: Antara yang menghadiri mesyuarat berkenaan.
    GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda